Tak Masuk Akal Warisan Tawar Tanah Kawasan Rizab kepada penduduk di Kinabatangan

Kerajaan negeri dipimpin Parti Warisan Sabah dilihat sudah ketandusan idea untuk mengalahkan Datuk Seri Bung Moktar Radin di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, apabila mereka dikatakan menawarkan tanah seluas 5,000 hektar di kawasan Hutan Simpan Long Manis di Kinabatangan, untuk pembinaan penempatan semula penduduk.

Bung Moktar yang Pengerusi BN, Sabah berkata beliau mendapat maklumat bahawa ada pihak tertentu mendakwa wakil kerajaan negeri Warisan sudah masuk ke kampung-kampung di pedalaman Kinabatangan untuk mengambil nama dan mengedarkan surat permohonan untuk mendapat tanah terbabit.

Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) BN Sabah itu menjelaskan antara syarat diberikan oleh pihak terbabit bagi membolehkan penduduk di Kinabatangan khususnya di DUN Lamag memperoleh tanah anugerah berkenaan adalah dengan mengundi calon parti Warisan dan mengalahkan Bung Moktar, pada 26 September nanti.

“Saya difahamkan terdapat satu surat yang disokong dan ditandatangan oleh Ketua Menteri, (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) bagi permohonan untuk mendapatkan tanah untuk penduduk dan masyarakat Kinabatangan berkeluasan lebih 5,000 hektar untuk membuat perkampungan baharu.

“Bagaimanapun, malangnya saya tengok (teliti) adalah kawasan rizab hutan kelas 6 terletak Hutan Simpan Long Manis yang tidak boleh dibangunkan kerana terletak dilokasi tadahan air utama dan terdapat bermacam-macam khazanah alam yang tidak boleh diusik.

“Malah, saiz kayu balaknya memang besar kerana kawasan hutan terbabit tidak pernah dikacau atau dicerobohi… Jadi bagaimana kerajaan Warisan boleh menggunakan taktik berkenaan untuk memancing undi dan menewaskan saya di DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan

“Namun penduduk berkenaan hanya mendapatkan surat hak milik tanah terbabit jika Warisan berjaya menewaskan saya di kerusi DUN Lamag. Jadi ini adalah satu pembohongan untuk kerja tidak masuk akal untuk berhadapan saya di DUN Lamag,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan jentera BN bagi DUN Libaran di Sandakan, hari ini.

Bung Moktar akan berhadapan dengan saingan lima penjuru di DUN Lamag termasuk Ismail Haji Ayob dari Warisan, Razman Magah (Parti Cinta Sabah), Junny @ Keruak Abdullah (Bebas) dan Mohd Al Ruzaini @ Sairin Abdul Rahman (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

Ditanya mengenai kedudukan terkini kempen BN bagi menghadapi PRN Sabah, Bung Moktar mengakui jentera BN memang bergerak agak perlahan di peringkat awal ini seperti enjin kereta yang baru panas.

“Perkara ini memang biasa kerana jentera BN ibarat kereta yang enjinnya baru panas, tetapi insya-Allah apabila masuk hari kelima dan seterusnya mereka akan terus bergerak lebih laju umpama kereta sudah memasuki gear lima seterusnya menawan kembali Sabah daripada Warisan.

“Justeru itu mulai hari ini saya akan terbang ke seluruh Sabah dengan menggunakan helikopter bagi membantu calon BN dan parti komponen Perikatan Nasional (PN) termasuk BERSATU untuk menang PRN ini,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar berharap semua calon BN dan PN sentiasa dalam keadaan baik dan sihat supaya mereka boleh bekerja keras siang malam bagi memastikan gabungan berkenaan mampu membentuk kerajaan selepas 26 September ini. BN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker