Senarai 10 pemain bolasepak dengan pendapatan terbesar

Share

LIONEL Messi mengekalkan kedudukannya dalam senarai pemain dengan pendapatan terbesar Forbes selepas mengumpulkan AS$126 juta (RM521.9 juta) sepanjang tahun lalu dan diekori rapat Cristiano Ronaldo di tempat kedua.

Bintang Barcelona itu menggemparkan dunia bola sepak bulan lalu apabila meluahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab itu — satu-satunya pasukan yang diwakilinya sepanjang karier senior — selepas gagal meraih sebarang trofi dalam musim 2019-20.

Messi percaya dia boleh menggunakan satu klausa dalam kontraknya untuk meninggalkan kelab itu secara percuma tetapi Barca dan LaLiga memutuskan bahawa pilihan itu telah tamat tempoh dan dia hanya boleh meninggalkan pasukan itu dengan pampasan bernilai €700 juta (RM3.4 bilion).


Di sebalik kekecewaan itu, Messi melakukan pusingan U dan memilih untuk kekal bersama pasukan gergasi LaLiga itu bagi menghadapi musim 2020-21.

Dia kemudian mengesahkan statusnya sebagai pemain dengan pendapatan terbesar selepas mengumpulkan $126 juta daripada gaji dan peragaan sepanjang 12 bulan itu.

Seteru tradisinya, Ronaldo, berada di tangga kedua dengan pendapatan tahunan sebanyak $117 juta (RM484.4 juta).
Dua bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dan Kylian Mbappe, masing-masing berada di tangga ketiga dan keempat manakala penyerang Liverpool, Mohamed Salah, kelima.


Turut berada dalam senarai 10 terbesar itu ialah dua bintang Piala Dunia Perancis, Paul Pogba dan Antoine Griezmann, selain Gareth Bale (Real Madrid), Robert Lewandowski (Bayern Munich) dan penjaga gol Manchester United, David De Gea.

Senarai 10 pemain dengan pendapatan terbesar Forbes:

1. Lionel Messi – $126 juta
2. Cristiano Ronaldo – $117 juta
3. Neymar – $96 juta
4. Kylian Mbappe – $42 juta
5. Mohamed Salah – $37 juta
6. Paul Pogba – $34 juta
7. Antoine Griezmann – $33 juta
8. Gareth Bale – $29 juta
9. Robert Lewandowski – $28 juta
10. David De Gea – $27 juta


Leave a Reply