‘Sabah Ubah’ Gagal Bawa Perubahan… Jom ‘Ubah Balik’

‘Sabah Ubah’ yang menjadi slogan Parti Warisan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak membawa apa-apa makna kerana ia gagal diterjemahkan dalam realiti.


Bagi Arshad Mohd Yusof dari Kota Marudu merasakan bahawa ‘Sabah Ubah’ tidak membawa apa-apa perubahan sebaliknya yang ternyata negeri tersebut semakin mundur.

“Tidak ada pun banyak perubahan yang yang berlaku di Sabah biarpun mereka berkata ‘Sabah Ubah’ tapi dapat dilihat tidak ada perubahan malahan ianya pun lebih mundur. Jika ada pun pembangunan ianya adalah hasil yang direncana oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Jadi yang nyata kerajaan Warisan ini hanyalah meneruskan kesinambungan dari pentadbiran kerajaan BN selama 26 bulan pemerintahan mereka,” katanya kepada UMNO-Online.



Oleh itu, beliau menyeru kepada pengundi agar dapat menilai parti mana yang lebih baik kerana Warisan tidak membawa manfaat kepada rakyat Sabah itu sendiri.


Hal tersebut turut dipersetujui oleh Ruslan Udam dari Libaran yang melihat dalam pentadbiran Warisan banyak masalah, janji-janji manis hanya di bibir, manifesto tidak ditunaikan dan pembangunan amat teruk sekali.

“Ekonomi negeri tidak dapat dirangsang, banyak pengangguran dan rasanya semua rakyat Malaysia tertipu dengan janji-janji manis yang telah ditanam oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu.

“Harapan saya agar pada PRN (Pilihan Raya Negeri) kali ini kerajaan akan berubah dan beralih kepada BN,” katanya.




Bagi Jeffrey Matusin dari Sepanggar pula mengimbas antara kempen Warisan dalam pilihan raya yang lalu adalah ‘Sabah for Sabahan’ dan ‘Sabah Ubah’ tetapi setelah mereka mentadbir dan memerintah Sabah selama 26 bulan ternyata tidak ada apa-apa perubahan.

“Sabah masih juga di tahap yang lama. Jadi kalau kita lihat dari segi perubahan sebagaimana yang mereka katakan, perkara ini tidak berlaku.

“Kalau kita ambil soal setinggan misalnya, mereka janji sekiranya mereka mentadbir Sabah dalam masa 100 hari setinggan akan hapus secara sifar di negeri Sabah tetapi apa yang berlaku di Sabah… lihat saja mangsa-mangsa kebakaran di Sandakan, sehingga ke hari ini masih lagi tinggal di kontena.

“Jadi kalau kita lihat secara realitinya Warisan gagal… maka kita minta rakyat sedar janganlah kita dimomok dengan perkara-perkara yang bukan-bukan, lihatlah istilah ‘Sabah for Sabahan’, kononnya kita tidak perlu parti Malaya… ini tidak baik kerana secara tidak langsung bukan saja parti itu malahan pemimpin itu sendiri cuba melahirkan sentimen yang tak baik di kalangan rakyat.”



Sehubungan itu, beliau minta rakyat agar matang dalam PRN kali ini.

“Kalau dulu ‘Sabah Ubah’ tapi hari ini kita ‘Ubah Balik’. Insya-Allah di PRN ini kita boleh melakukannya.

“Pesanan kepada pengundi, fikirlah lebih waras dan matang kerana kita bukan memilih maju sebaliknya melibatkan masa depan kerana kita tidak mahu negeri Sabah ketinggalan. Kali ini marilah kita sama-sama satukan hati dan jiwa kita untuk bangkit bersama memperjuangkan Parti BN dan Muafakat Nasional,” katanya lagi. – UMNO Online

https://www.youtube.com/watch?v=r8RYgNrfI3s&feature=emb_logo



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker