Persoal status pendaftaran PN, kerja orang terdesak dan terancam sahaja

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyelar tindakan pihak yang masih mempersoalkan status pendaftarannya dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan media, beliau menyifatkan tindakan pihak terbabit sebagai terdesak dan ketandusan isu dalam menghadapi kempen PRN tersebut.
Malah, katanya tindakan itu dibuat kerana bimbang dan terancam melihat penerimaan baik rakyat terhadap PN kebelakangan ini.
“Selaku Setiausaha Agung Perikatan Nasional, saya ingin menegaskan bahawa pendaftaran PN telah diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 7 Ogos 2020 dan teratur mengikut Akta Pertubuhan 1966.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah meluluskan permohonan pendaftaran logo PN untuk digunakan sebagai lambang di atas kertas undi,” jelasnya.
Katanya, semua calon PN yang bertanding menggunakan logo PN telah diumumkan layak untuk bertanding pada hari penamaan calon 12 September lalu.
Ujarnya, PN akan terus memperkasakan jenteranya dalam memastikan kemenangan semua calon yang bertanding.
Malah, beliau yakin bahawa isu yang disifatkannya berunsur fitnah dan berniat jahat itu tidak akan mempengaruhi keputusan para pengundi untuk memilih PN sebagai parti yang prihatin dan membela rakyat.
Hamzah turut melampirkan surat rasmi yang diterimanya daripada SPR berkenaan kelulusan PN menggunakan simbol parti dalam pilihan raya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker