Pengkhianatan UPKO masih menyakitkan, pemimpin PBS beritahu Tangau

Ketua Penerangan PBS, Joniston Bangkuai masih tidak lupa bagaimana bekas sekutu rapat yang juga Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau berpaling tadah daripada Barisan Nasional lebih 2 tahun lalu.

Beliau berkata, Tangau bukan saja meninggalkan BN, tetapi kembali kepada pakatan “misompuru” (bermaksud perpaduan dalam Kadazan) ketika mereka berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Walaupun terluka dengan pengkhianatan itu, Bangkuai masih menganggap ahli Parlimen Tuaran itu sebagai kawan.

“Saya tak benci dia. Dia masih kawan saya, tetapi dia tinggalkan kami,” katanya dalam sesi perjumpaan di Kampung Tudan-Poring, Kiulu semalam.

“Pada PRU lalu, kita berkempen bersama di bawah ‘tagline’ Misompuru.

“Malah, itu adalah cadangannya (Tangau) supaya 3 parti utama, Kadazan Dusun Murut (KDM) yang ketika itu di bawah BN – Upko, PBS dan PBRS – membentuk satu pakatan rasmi sebagai barisan bersatu untuk menghadapi pilihan raya.

“Hasilnya, sebuah Majlis Presiden yang terdiri daripada 3 presiden parti ditubuhkan dan kami menang. Sayangnya, selepas pilihan raya, dia tinggalkan kami untuk membentuk sebuah pakatan dengan kerajaan pimpinan Warisan.”

Bangkuai mempertahankan kerusi luar bandar Kiulu yang terletak di bawah Parlimen Tuaran, menentang Tangau dan 4 calon lain dalam Pilihan Raya Negeri pada 26 Sept ini.

Secara profesionalnya, Bangkuai tidak ragu-ragu bekerja dengan Tangau demi memajukan Kiulu.

“Sekiranya kerajaan negeri terdahulu sedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, walaupun menjadi sebahagian daripada pembangkang persekutuan, mengapa kita tak boleh buat perkara sama untuk Kiulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bangkuai berkata, PBS tidak berada dalam BN lagi, oleh itu ia menggunakan lambangnya sendiri untuk PRN Sabah.

“Kami menggesa pengundi tetap berpegang kepada makna integriti, prinsip dan maruah. Jika mereka berbuat demikian, saya tahu mereka akan buat pilihan tepat.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker