Pengkhianat Alam Sekitar: Lima lelaki didakwa sebabkan pencemaran sungai

Share

 

Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, baru-baru ini.

Empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik ialah Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 70 dan Yip Kok Wong, 60.

Seorang lagi tertuduh ialah pengurus bengkel tersebut Ho Voon Leong, 59.


Mereka kemudian mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan hakim Syafeera Mohd Said.

Untuk pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang, antara 2 dan 3 Sept lepas.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Selepas mendengar hujahan pendakwaan dan peguam, mahkamah tidak membenarkan kelima-lima lelaki itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan kes pada 27 Okt.

Pada 3 Sept lepas, berlaku pencemaran minyak dari kilang berkenaan yang telah menyebabkan empat Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang.

– Bernama

Leave a Reply