Pemimpin Umno, PAS negeri akan diberi jawatan jika BN, sekutu menang – Zahid

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan rancangan untuk membuat lantikan politik kepada pemimpin Umno dan PAS di Sabah sekiranya BN dan sekutu menang dalam pilihan raya negeri.

“Sudah tentu kekecewaan itu saya dapat rasakan. Ada beberapa jawatan lantikan yang akan kita berikan kepada tokoh-tokoh negeri Sabah, jika kita dapat memenangi kerusi-kerusi yang kita tandingi.

“Insya-Allah lantikan itu juga turut memberikan tempat untuk tokoh-tokoh Umno Sabah, termasuk dari parti PAS.

“Kita akan berunding dengan rakan-rakan di dalam Perikatan Nasional (PN) untuk memberi tempat kepada rakan-rakan yang lain di dalam parti gabungan,” katanya ketika kempen Radu Kukusan Tanjung Batu semalam, seperti dilapor BH Online.

PAS tidak bertanding di mana-mana DUN dalam PRN kali ini walau sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bertanding di sepuluh kerusi.

BN menyertai PRN kali ini bersama-sama Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Bagaimanapun BN dan PBS melanggar persetujuan awal apabila meletakkan lebih calon berbanding yang diumumkan, menjadikan pertembungan mereka meningkat daripada 11 kepada 17 kerusi.

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga berkata BN akan mengumumkan tawaran baru dalam manifesto yang akan diumumkan hari ini, melibatkan pembangunan, pendidikan dan ekonomi.

Menurut Bernama, dia juga berkata lebih ramai wanita wajar mendapat lantikan jika BN dan sekutunya menang nanti.

“Tentunya saya merasa kecewa (wanita kurang dicalonkan) namun ada beberapa jawatan lantikan boleh diberikan kepada tokoh wanita,” katanya, sambil menjelaskan isu lantikan akan dibincang bersama rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah. Mk

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker