Kandang kerbau keluarga Syukur diisytihar kawasan larangan

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu hari ini mengisytiharkan kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis di Kampung Banggol Katong dekat Serada di sini, sebagai kawasan larangan kepada orang ramai.

Pengarahnya, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata langkah itu dikuatkuasakan mengikut Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang hanya membenarkan pemilik kandang memasuki kawasan tersebut, bagi mengelak jangkitan penyakit hawar berdarah ke kawasan lain.

“Kandang ini ditutup berkuat kuasa hari ini sehingga masalah wabak hawar berdarah ini selesai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.



Sementara itu, tinjauan Bernama ke kandang tersebut mendapati proses menanam bangkai kerbau yang mati, masih dilakukan.

Muhammad Syukur berkata lima lagi kerbaunya mati pagi ini, manakala enam dikesan mempunyai simptom yang agak kritikal.

“Pagi tadi lagi sedih sebab saya nampak ada anak kerbau yang baru berusia sebulan masih menyusu dari ibunya yang sudah mati….tak tahu macam mana nak gambarkan perasan sedih dan sebak tu.



“Buat masa sekarang, kami berharap sangat dapat cari jalan untuk selamatkan kerbau yang masih sihat,” katanya.

Sementara itu, bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 64 berkata pihaknya buntu bagaimana hendak mengasingkan kerbau yang masih sihat seperti disarankan JPV Terengganu kerana kekangan tempat dan masa.

“Sukar untuk saya kuarantin kerana tiada tempat sesuai, tambahan pula ini kandang terbuka….kerbau ini pula tidak boleh terdedah dengan cuaca panas, ia akan tetap merempuh pagar yang ada untuk pergi ke kawasan sawah berdekatan.

“Saya berharap sangat agar kerbau yang masih sihat ini boleh diselamatkan dengan kepakaran dan kemahiran JPV, namun sekiranya tidak (berlaku lebih banyak kematian), saya reda dengan takdir Allah,” katanya.



Semalam, media melaporkan sebanyak 36 kerbau milik keluarga Muhammad Syukur, 15, yang terkenal dengan jolokan ‘Mowgli Malaysia’ atau ‘Kampong Boy’ itu, mati secara berperingkat sejak Rabu lepas dipercayai akibat penyakit hawar berdarah.

— BERNAMA

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=lHSyWDIV_mU[/embedyt]



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker