Video tular: Polis buru lelaki tunggang motosikal guna kaki [Video]

Share

KUALA LUMPUR, 25 Muharram 1442H, Ahad – Polis sedang mengesan seorang lelaki dalam video tular memaparkannya menunggang motosikal secara berbahaya dengan meletakkan kedua-dua kakinya pada pemegang kenderaan itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, dalam video berdurasi 41 saat yang tular semalam itu, lelaki berkenaan turut dilihat memegang bungkusan air sambil melakukan aksi berkenaan.

“Berdasarkan papan tanda di dalam video itu, insiden berkenaan berlaku di Jalan Kuching, di sini menghala Batu Caves, Selangor.


“Polis telah membuat serbuan ke alamat nombor pendaftaran motosikal itu didaftarkan iaitu di Selayang Baru, Selangor dan menemukan motosikal serta tuan punya motosikal yang juga bapa kepada suspek manakala suspek tiada di rumah ketika itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis telah merampas motosikal berkenaan dan usaha mengesan suspek masih diteruskan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Leave a Reply