PN tidak beri kerusi kepada Pas kerana takut PPBM Sabah marah

Share

Salah satu kejutan terbesar dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah setakat ini adalah apabila PAS dikecualikan daripada barisan Gabungan Rakyat Sabah, walaupun parti Islam itu secara terbuka menuntut 10 kerusi untuk ditandingi.

Bagi pensyarah geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Azmi Hassan, keputusan itu tiada kena mengena dengan reputasi PAS, sebaliknya merupakan strategi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meraih sokongan kepadanya dan Perikatan Nasional.

“Sebab itu saya melihat keengganan PN memberi peluang kepada PAS walaupun kepimpinan PAS telah memberi sokongan tanpa belah bahagi kepada PN menyerlahkan bagaimana PN mentafsirkan betapa kritikalnya sokongan yang diperlukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama sekali dari PPBM (Bersatu) Sabah.


“Isunya tiada kena mengena dengan kemelut Bible atau sikap konservatif PAS tetapi jika PN memberi peluang walau satu kerusi kepada PAS, ini sudah tentu akan membangkitkan kemarahan ahli PPBM Sabah yang sudah tentu mengugat keutuhan PN,” katanya.

Muhyiddin kini mendapat sokongan sekurang-kurangnya 113 anggota Parlimen di Dewan Rakyat, di mana enam daripadanya adalah anggota parlimen Bersatu dari Sabah.

Sekiranya PAS bertanding dalam pilihan raya Sabah, ini bermaksud Bersatu Sabah dan Umno Sabah harus menyerahkan beberapa kerusi kepada PAS, memandangkan ketiga-tiga parti itu bertanding di kawasan majoriti Muslim.


Walaupun pemimpin tertinggi PAS mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan perkara itu kepada akar umbi parti, Azmi percaya sedikit sebanyak ia bakal menggugat kepercayaan mereka terhadap PN.

James Chin (di atas), yang merupakan profesor pengajian Asia di University of Tasmania dan pakar politik Malaysia Timur berkata PN mungkin mengecualikan PAS kerana sifatnya yang pragmatik.

“PAS selalu melakukan perkara yang sangat buruk di Sabah, dan mereka tahu sama ada mereka bertanding atau tidak, tak memberi kesan.


“Jadi, dalam kes ini, kerana BN dan PN bertanding, mereka telah tersingkir. Dengan kata lain, jika mereka bertanding di sana, mereka juga akan kalah semua kerusi di sana,” kata Chin kepada Malaysiakini.

Tidak seperti Azmi, Chin tidak percaya episod ini akan menjerat hubungan antara PAS dan PN, kerana Bersatu Sabah dan Umno Sabah adalah pemain utama di negeri ini.

Sementara itu, Profesor Madya Universiti Utara Malaysia, Azizuddin Mohd Sani juga memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan mengecualikan PAS tiada kaitan dengan ucapan anggota parlimen PAS mengenai isu Bible kerana parti itu sudah tidak popular di Sabah.

Pensyarah kanan Jabatan Komunikasi Universiti Malaysia Sabah, Lee Kuok Tiung pula percaya kenyataan berkenaan akan memberi kesan sekiranya PAS bertanding, memandangkan Sabah mempunyai jumlah penduduk Kristian yang ramai.

“Ini boleh menjadi salah satu isu hangat, kerana tentunya Warisan dan sekutunya akan memainkannya.

“Kita dapat melihatnya sekarang, dengan Warisan menggunakan kata ‘Unity’ sebagai kata kunci dalam kempen mereka,” katanya. Mk

Leave a Reply