Pasca 3 tahun Ittifaqiyah: Sejauh mana kita menginsafi tragedi tersebut?

PADA hari ini, 3 tahun yang lalu, negara digemparkan dengan tragedi kebakaran sebuah pusat tahfiz Al-Quran swasta iaitu di Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat, Kuala Lumpur.

Tragedi menyayat hati yang berlaku pada waktu subuh iaitu sekitar jam 5.15 pagi, telah mengorbankan 23 orang mangsa (21 pelajar dan 2 guru).

Kejadian kebakaran yang sama sepertinya pernah berlaku di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau Pondok Pak Ya di Yan, Kedah pada 22 Sept 1989 yang telah memusnahkan lapan buah asrama dan mengorbankan 27 pelajar.

Walaupun akhirnya, pihak Polis Diraja Malaysia mengesahkan punca sebenar kejadian tersebut adalah angkara khianat (arson), namun ciri-ciri keselamatan dan kesihatan dalam operasi sesebuah pusat pengajian awam, terutamanya pusat tahfiz tidak boleh dipandang remeh oleh pihak yang menguruskannya.

Mengulangi pendirian yang sama ketika menjadi tetamu dalam slot khas Awani Pagi mengenai tragedi Ittifaqiyah pada tahun lalu, saya berpandangan bahawa semua pihak harus melihat tragedi ini dari sudut pandang yang positif,
Sekalipun tragedi ini mengundang rasa amarah ramai orang, namun kita tidak dapat nafikan betapa ia telah menjadi asbab kepada perlaksanaan beberapa inisiatif dan langkah drastik oleh pihak berkaitan terutamanya agensi kerajaan yang terlibat dalam memastikan perkara yang sama tidak berulang kembali pada masa mendatang.

Antaranya
:
– penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah Tahfiz yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri

– penubuhan Jawatankuasa Khas yang terdiri dari pelbagai agensi diperingkat kerajan tempatan dan negeri bagi melakukan pemeriksaan keselamatan dan kejuruteraan terhadap pusat tahfiz swasta

– pemeriksaan keselamatan kebakaran terhadap semua pusat tahfiz seluruh negara oleh pihak Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) dan laporannya dibentangkan kepada pentadbir negeri termasuk sultan di beberapa buah negeri dan Dewan Rakyat

– penubuhan Skuad Bomba Tahfiz oleh JBPM

– mewajibkan pendaftaran pusat tahfiz swasta dengan pihak berkuasa agama negeri (Jabatan Agama Islam Negeri – JAIN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

– peruntukan serta-merta dan tambahan oleh kerajaan persekutuan melalui JAKIM bagi menaiktaraf kemudahan dan ciri-ciri keselamatan pusat tahfiz berdaftar

– arahan penutupan atau pemberhentian operasi serta-merta kepada pusat tahfiz yang tidak selamat dan tidak menepati spesifikasi dan standard keselamatan yang telah ditetapkan

– penerbitan Buku Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk sekolah-sekolah tahfiz oleh pihak Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH)

– kempen kesedaran tentang keselamatan dan kesihatan di pusat tahfiz secara besar-besaran oleh JAKIM, NIOSH, JBPM, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
Semua inisiatif yang disenaraikan di atas telah dilaksanakan dengan giat terutamanya ketika tragedi tersebut masih hangat diperkatakan iaitu beberapa bulan selepas ia berlaku.

Namun perlaksanaannya seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’, apabila ia dilihat semakin hari semakin berkurang sejajar dengan berkurangnya tragedi tersebut diperkatakan oleh orang ramai.

Buktinya, tidak kurang daripada 13 kejadian kebakaran yang melibatkan pusat tahfiz selepas tragedi Ittifaqiyah sehingga kini dengan kejadian terkini di Maahad Tahfiz Al-Quran Waddin Kampung Baru Lepar, Pekan, Pahang pada 31 Ogos yang lalu.
Beberapa punca yang dikenal pasti menjadi penyebab kebakaran tersebut adalah penggunaan ubat nyamuk dan litar pintas yang mana kejadian tersebut dapat dielakkan jika ia diberi perhatian yang sewajarnya.

Selain itu, sasaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menubuhkan Skuad Bomba Tahfiz di setiap pusat tahfiz menjelang akhir tahun 2017 masih tidak tercapai.

Begitu juga dengan kempen kesedaran keselamatan dan kesihatan di pusat tahfiz yang kebanyakannya dilaksanakan secara ‘one time off’ sejurus selepas tragedi Ittifaqiyah tanpa perancangan secara berkala dan berterusan.

Malahan, kita juga sudah jarang disajikan dengan sebarang perkembangan laporan pemeriksaan keselamatan mahupun status terkini pendaftaran pusat tahfiz oleh pihak berkaitan.

Tanpa menafikan atau mengecilkan segala usaha baik yang telah dilakukan pelbagai pihak dalam menangani isu keselamatan dan kesihatan di pusat tahfiz di seluruh negara, saya kira satu perancangan secara holistik dan berterusan melibatkan semua pemegang taruh yang berkaitan harus dilakukan bagi memastikan tiada lagi tragedi yang serupa Pondok Pak Ya atau pun Ittifaqiyah dari berulang lagi.

Hal ini boleh dicapai dengan menyegerakan penubuhan Majlis Tahfiz Negara yang telah diluluskan penubuhannya sejak September 2019 yang lalu bagi menjalankan fungsi dan peranannya. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker