Pasangan doktor di Terengganu dipenjara seminggu, denda kerana khalwat

Pasangan doktor dijatuhi hukuman penjara satu minggu dan denda RM2,700 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman semalam.

Bukan itu saja, pasangan masing-masing berusia 27 dan 26 tahun itu turut berdepan hukuman penjara dua bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof selepas pasangan berkenaan mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu berkhalwat.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di sebuah rumah di Mak Chili, Kemaman, jam 12.30 tengah hari pada 16 Mei lalu.

Terdahulu, Mohd Fakhruddin dalam penghakimannya berkata, perbuatan menghampiri zina adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman rejam sehingga mati bagi yang sudah berkahwin di bawah hukuman hudud.

“Kamu berdua bekerja dalam bidang perubatan, macam mana nak ubatkan orang sakit, soal hidup dan mati orang, kalau pegawai perubatan sendiri tak tahu dosa pahala, tak ada imej kredibiliti dan integriti?

“Kalau rasa tak boleh nak tahan nafsu, kahwin dulu dan kalau wali tak izinkan atau tak dapat restu keluarga, mohonlah wali hakim di mahkamah untuk berkahwin bukan dengan menghampiri zina.

“Saya berharap hukuman yang diberikan ini bukan saja dapat memberi pengajaran kepada pasangan ini tetapi dapat memberi kegerunan kepada masyarakat lain supaya tidak menghampiri zina,” katanya.

Sementara itu, di mahkamah sama, wanita berstatus janda diarah menjalani pemulihan selama lima bulan di Pusat Pemulihan Wanita di Sabak Bernam, Selangor selepas mengaku salah berkhalwat dengan empat rakan lelakinya pada 21 April lalu.

Wanita berusia 20 tahun itu mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tumpangan di Kampung Bharu, Kemaman jam 12.25 tengah malam.

Manakala empat rakan lelakinya yang berusia antara 19 hingga 24 tahun dikeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir ke mahkamah tanpa sebarang alasan.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker