Pas mungkin hanya dapat 28 kerusi Parlimen – Penganalisa Politik

Permintaan Pas untuk bertanding di 50 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat kurang realistik, sebaliknya parti itu dijangka akan mendapat kira-kira 28 kerusi sahaja.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, Pas sebenarnya sedar bahawa sekiranya parti itu meminta sebanyak 30 kerusi, mereka hanya akan dapat separuh daripada jumlah itu.

“Ia proses normal dalam rundingan kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU). Semua parti akan meletakkan jumlah tinggi tetapi akhirnya ia akan berkurangan untuk diagihkan kepada rakan komponen Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Pas hanya boleh dapat 28 kerusi kerana ia mengambil kira soal target pengundi mereka iaitu Melayu. Dalam hal ini, kerusi UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga akan bertanding di kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Kelmarin, Pemuda Pas meluluskan usul agar parti itu bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen pada PRU15.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberi gambaran bahawa Pas akan bertanding majoriti kerusi di Kelantan dan Terengganu serta berharap dapat mendominasi kerusi kerajaan di Kedah pada PRU15, Awang Azman berkata, wujud kemungkinan tersebut.

Muktamar Pas ke-66 meluluskan lapan usul untuk kebaikan semua pihak termasuk negara dan agama.
Muktamar Pas ke-66 meluluskan lapan usul untuk kebaikan semua pihak termasuk negara dan agama.
Bagaimanapun, katanya, soal kewujudan dan kekuatan UMNO di Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak boleh diabaikan oleh Pas.

Beliau juga berpendapat, kenyataan Abdul Hadi itu bukanlah satu permintaan dan imbuhan kerana Pas tidak diberikan kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana langkah tidak membenarkan parti itu bertanding adalah tepat.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, permintaan Pas bagi mendapatkan 50 kerusi untuk ditandingi pada PRU15 sesuatu yang realistik.

“Jika dibandingkan pada PRU14, Pas bertanding lebih banyak kerusi. Bagaimanapun, kali ini Pas perlu meletakkan calon boleh menang atau memberikan laluan kepada parti yang lebih kuat.

“Paling tinggi dalam sejarah, Pas menang dengan 27 kerusi Parlimen ialah pada tahun 1999. Untuk kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO dan Bersatu, sebaiknya diberikan laluan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, misi utama Pas sekarang adalah untuk mengekalkan kemenangan 18 kerusi Parlimen dan beberapa kerusi milik Amanah.

“Selain kerusi Parlimen, saya fikir tumpuan Pas juga adalah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Bukan Parlimen semata-mata,” katanya. Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker