Khalid Samad sahkan Husam mohon untuk letak jawatan

Parti Amanah Negara (Amanah) mengesahkan Datuk Husam Musa telah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan selaku Naib Presiden.

Bagaimanapun Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad berkata perkara tersebut masih belum diputuskan lagi oleh kepimpinan tertinggi parti tersebut.

“Itu masih dalam perbincangan.
“Sama ada kita (kepimpinan Amanah) hendak terima ataupun tidak, kita akan keluarkan kenyataan.

“Memang beliau (Husam) ada menyatakan hasratnya untuk nak tumpu Kelantan. Tapi beliau tidak keluar parti.

“Dia hanya nak tumpu Kelantan kerana beliau hendak tentukan Kelantan ini ada anak sulung (kerusi Parlimen sulung Amanah di Kelantan).

“Dalam minggu depan Insya-Allah saya akan keluarkan kenyataan sebab kita masih dalam perbincangan kerana belum diputuskan lagi,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas Khalid, proses rundingan dan perbincangan masih lagi berlangsung ketika ini.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Datuk Seri Mujahid Yusof ketika dihubungi Astro AWANI berkata Husam masih kekal sebagai ahli Amanah dan diberi mandat sebagai penasihat di Kelantan selain menganggotai jawatankuasa strategi lain.

“Kita lantik beliau jadi pengerusi lain… untuk beliau tumpu kepada Kelantan.
“Bukan bermakna apabila beliau meletakkan jawatan itu, dia terus meninggalkan parti. Tidak. Dia hendak beri penumpuan kepada Kelantan,” kata Mujahid.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebab-sebab lain peletakan jawatan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Dr Hatta Ramli enggan mengulas lanjut berkenaan perkara tersebut selain hanya menyatakan bahawa pihaknya akan mengeluarkan kenyataan bertulis dalam masa terdekat.

Astro AWANI cuba mendapatkan penjelasan daripada Husam, namun belum berhasil.
Husam pada minggu lalu dilapor telah menyerahkan peletakan jawatan kepada kepimpinan Amanah selepas menyertai parti itu sejak Ogos 2016.

Bekas Naib Presiden Pas itu dipecat keanggotannya dalam Pas pada April 2016 kerana lantang mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-UMNO. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker