Semua ketua cawangan Umno Sg Manila kini sokong calon BN

Seramai 20 ketua cawangan Umno dari empat pusat daerah mengundi (PDM) di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) N51 Sungai Manila yang semalam menolak calon BN, Mokran Ingkat kini mengubah pendirian menyatakan sokongan.

Ketika ditemui di pusat kempen Barisan Nasional (BN) Libaran bagi melancarkan jentera parti, Ketua Cawangan Umno Rancangan Lubuh, Hassan Kibing berkata pihaknya sudah tidak marah dan bersedia untuk menyokong Mokran.

“Hari ni saya boleh cakap baik.

“Pokoknya yang di atas pemimpin dia kasi baik pentadbiran. Supaya kita BN, Umno, kita kukuh,” katanya kepada Malaysiakini.

Hassan antara 24 ketua Cawangan Umno di bawah DUN Sungai Manila yang menuntut pemimpin tinggi parti untuk mempertimbangkan pencalonan Mokran dan meletakkan bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman bagi kerusi tersebut.

“Saya akur lah. Sebab saya orang BN. Saya BN jadi saya akur lah. Saya menyokong BN, dari dulu saya sokong BN.

“Oleh kerana sudah ada keputusan bahawa Tan Sri (Musa Aman) tak mahu kerjasama, jadi kami sebulat suara semua 25 cawangan akan sokong kepada calon BN khasnya di Sungai Manila,” kata Hassan.

Pada sidang media selepas pelancaran tersebut, timbalan presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menyifatkan bantahan awal suatu hal biasa serta menyatakan keyakinan bahawa penyokong BN sejati akan tetap menerima sebarang keputusan yang dibuat parti.

Pengerusi Umno Bung Moktar Radin semalam mengulangi bahawa Musa, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga selama 24 tahun itu, tidak menawarkan dirinya untuk bertanding sebagai calon BN kali ini.

Ketua Umno Libaran, Suhaimi Nasir, yang juga merupakan calon BN bagi DUN Gum-Gum menambah perkara itu telah diselesaikan selepas mesyuarat bersama Hassan serta pemimpin akar umbi yang tidak puas hati.

Awal hari ini, Musa mengakhiri spekulasi berhubung langkah politiknya selepas beliau tidak hadir ke Dewan Serbaguna Libaran atau mana-mana pusat penamaan calon di Sabah.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker