Pemilihan Ketua Menteri Sabah perlu ikut Perlembagaan – Najib

Segala keputusan mengenai siapa Ketua Menteri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah harus ikut Perlembagaan Persekutuan.

Demikian kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung persoalan siapa yang akan menerajui kerajaan negeri Sabah sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Sabah.

“Kita kena patuh kepada Perlembagaan yang menyebut mana-mana ADUN yang mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ADUN lain akan dilantik sebagai Ketua Menteri.

“Jadi kita tunggu keputusan yang akan menentukan parti mana dan individu yang mendapat sokongan majoriti di kalangan ADUN. Itulah yang jadi penentu muktamad,” katanya selepas menghadiri program ‘Bossku’ berjumpa dengan pengundi di PDM Andrassy DUN Balung, Tawau.

Hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan calon BN bagi DUN Balung, Hamild@Hamid Awang.

Najib berkata demikian mengulas mengenai kenyataan dua pemimpin tertinggi BN dan PN mengenai calon Ketua Menteri Sabah daripada gabungan itu.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan kemungkinan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor, dilantik sebagai Ketua Menteri jika gabungan PN dan rakannya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, jawatan Ketua Menteri Sabah akan dipilih oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan rakan kongsi politik apabila menang dalam Pilihan Raya Negeri itu.

Menurut Presiden UMNO itu, calon Ketua Menteri hanya akan diputuskan apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Najib dalam pada itu berkata PN sebagai pembangkang di Sabah perlu berusaha lebih keras bagi memastikan kerajaan negeri bertukar tangan.

Jelasnya masyarakat dan pengundi di Sabah telah menunjukkan penerimaan positif terhadap PN dan peluang itu harus direbut segera.

“Saya melihat bahawa di tempat-tempat yang saya telah berjumpa dengan orang ramai, jentera dan pengundi nampaknya sambutan positif tapi saya amat sedar bahawa keadaannya tidak semudahnya.

“Kita masih lagi perlu berusaha dengan begitu gigih sebab kita dikira sebagai pembangkang di Sabah. Jadi sebagai pembangkang memang kena kerja lebih keras daripada mereka yang mempunyai kuasa sebagai kerajaan,” katanya lagi. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker