Pelajar sekolah ditahan berparti liar di kondo mewah

Share

Generasi muda bakal pemimpin masa depan namun kehidupan bersosial sesetengah mereka menjadikan segalanya terbalik dan menakutkan.

Itu ungkapan sesuai digunakan apabila seramai 59 orang pemuda dan remaja tempatan termasuk pelajar kolej dan sekolah yang ghairah berparti liar berbekalkan pelbagai jenis dadah termasuk ketamin berjaya diserbu dan dicekup polis semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kesemua mereka berusia antara 14 hingga 23 tahun sahaja.


Mereka ditahan menerusi serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dan Dang Wang bertindak di atas maklumat, pada jam 2 pagi hari ini di sebuah kondominium mewah.

“Dalam pemeriksaan tersebut pihak polis telah berjaya menahan seramai 59 remaja dan pemuda berkenaan yang terdiri daripada 44 orang lelaki, 15 perempuan.

“Malah apa yang mengejutkan 27 orang daripada yang ditahan adalah adalah pelajar dan remaja bawah umur (pelajar sekolah).


“Pemeriksaan ke atas dua orang lelaki didapati memiliki dadah jenis Pil Ecstasy sejumlah 31 biji anggaran berat 12.8 gram,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Seramai 59 pemuda dan remaja ditahan berparti liar di sebuah kondominium mewah dan mengejutkan adalah 27 daripadanya adalah pelajar kolej dan sekolah dan ada antaranya positif dadah ketamin dan pil ekstasi dalam serbuan polis narkotik KL di kondominium di kawasan daerah Dang Wangi 2 pagi pada 12 September 2020.

Tambah Mohd Fahmi, dalam serbuan dan pemeriksaan di kondominium itu, polis turut merampas tiga unit Laser Display System, tiga unit speaker dan tiga unit lampu LED.


Katanya, ujian saringan awal urin ke atas mereka didapati jumlah yang dikesan positif dadah jenis Amphetamine dan Ketamin adalah seramai 16 orang yang terdiri daripada 12 orang lelaki dan empat orang perempuan Melayu termasuk dua orang pelajar kolej dan seorang pelajar sekolah.

“Kesemua tangkapan telah dipohon reman mahkamah selama empat hari bermula hari ini hingga 15 September ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan,boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun, mandatori tiga hingga sembilan sebatan rotan,” ujarnya.

Mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM100,000.00 dan tiga sebatan selain dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 turut boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.

Kesemua tangkapan juga telah dikenakan kompaun RM1,000 di bawah Peraturan 3 Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (LangkahLangkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No 8) 2020 (P.U.(A) 254/2020).-MalaysiaGazette

Leave a Reply