Palestin ‘ditikam dari belakang’ lagi

Share

PENDUDUK Palestin ‘ditikam’ dari belakang sekali lagi apabila Bahrain mengikut langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menormalkan hubungan dengan Israel di Asia Barat.

Kenyataan itu dibuat oleh pihak berkuasa Palestin baru-baru ini yang bimbang mengenai perjuangan untuk menubuhkan negara Palestin dalam kalangan negara-negara Arab.

Jika UAE dikritik oleh beberapa buah negara kerana bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan negara Yahudi itu, Manama (ibu negara Bahrain) tidak terkecuali daripada menerima nasib yang sama.


Bahrain yang merupakan sebuah pulau kecil dan terletak berjiran dengan Arab Saudi dan Qatar serta dekat dengan UAE merupakan negara Arab keempat bersetuju menjalin hubungan dengan Israel ketika masalah pendudukan Yahudi di Palestin masih belum dapat diselesaikan.

Sebelum ini, Israel menandatangani perjanjian damai dengan Mesir dan Jordan, masing-masing pada 1979 dan 1994.

Palestin yang terkejut dengan perjanjian Bahrain itu bertindak memanggil pulang dutanya di Manama bagi menyatakan bantahan.


UAE dan Mesir menyambut baik hubungan tersebut manakala Jordan mengeluarkan kenyataan berhati-hati tetapi Turki serta Iran mengkritik keputusan Bahrain tersebut.

Nada kecewa turut disuarakan oleh Hamas di Gaza apabila jurucakapnya, Hazem Qassem menyatakan Bahrain dan UAE menjadi rakan kepada Amerika Syarikat (AS) sekali gus menunjukkan terdapat satu pencerobohan yang jelas terhadap Palestin.

Presiden AS, Donald Trump di Washington mengumumkan perjanjian damai antara Manama dengan Tel Aviv itu sebagai memenuhi pelan damainya di Asia Barat yang dikenali sebagai ‘Perjanjian Abad Ini’.


Trump berbangga menjadi penaja pelan damai negara-negara dengan Israel.
Timbul juga persoalan adakah ia sebagai salah satu cara untuk Trump mendapat kelebihan politik dalam usahanya bertanding sekali lagi bagi mempertahankan jawatan Presiden AS yang berhadapan tentangan daripada calon parti Demokrat, Joe Biden.

Hubungan diplomatik antara Bahrain yang mempunyai ramai penduduk berfahaman Syiah dengan Israel bermula dengan satu siri pertemuan antara kedua-dua pemimpin negara tersebut sebelum ia diumumkan oleh Trump pada Jumaat lalu.

Pada September 2016, menteri luar negara Bahrain ketika itu, Sheikh Khalid Al-Khalifa pernah membuat kenyataan mengejutkan dengan memberikan kata-kata penghormatan terakhir kepada bekas Presiden Israel, Shimon Peres yang meninggal dunia pada bulan yang sama.

Kata-kata Sheikh Khalid itu kemudian mendapat kritikan daripada pengguna media sosial ketika kebanyakan negara Arab lain enggan membuat sebarang kenyataan terhadap Peres yang sebelum ini dikenali sebagai penjenayah perang ekoran dasar-dasarnya di Asia Barat.

Keputusan untuk menjalin hubungan itu juga dibuat ketika isu negara Palestin masih belum menemui jalan penyelesaian dan penduduknya ditindas oleh rejim Zionis.

Pada Januari lalu, Trump mencadangkan penyelesaian dua buah negara dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota negara Israel tetapi ia ditolak oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kerana Baitulmuqaddis kota terletaknya Masjid Al Aqsa dicadangkan berada dalam penguasaan negara Yahudi tersebut.

Bagaimanapun, Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa dalam perbualan menerusi panggilan telefon dengan Presiden AS dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Jumaat lalu menegaskan tentang perlunya perdamaian yang adil dan berpanjangan antara Israel dengan Palestin.

Ironinya, pada 8 Jun lalu, Netanyahu dilaporkan berkata, dia tidak pernah bersetuju dengan penubuhan sebuah negara Palestin ketika mengumumkan rancangan untuk melaksanakan pemilikan paksa wilayah di Tebing Barat.

Leave a Reply