Lelaki, tunang ditahan kerana peras ugut sebar gambar bogel

KUALA LUMPUR : Perbuatan seorang wanita berkongsi gambar dan video bogel dengan bekas teman lelakinya membawa padah apabila menjadi mangsa peras ugut selepas telefon lelaki itu ‘hilang’.

‘Episodnya’ bermula apabila mangsa yang berusia 21 tahun itu menerima mesej daripada nombor tidak dikenalinya pada 31 Mei lalu yang memaklumkan ada menyimpan gambar bogelnya dan meminta wanita itu memberi RM1,000 sekiranya tidak mahu gambar-gambar itu disebarkan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan awal mendapati mangsa pernah berkongsi gambar dan video bogelnya kepada bekas teman lelaki yang berusia 21 tahun pada Mac lalu.

Namun demikian, katanya, selepas tidak lama berhubung, lelaki itu memaklumkan telefonnya hilang sejak Mac lalu.

“Berdasarkan keterangan, pengadu mengakui pernah memberi RM300 kepada seorang lelaki yang merupakan rakan bekas teman lelaki pada April lalu yang mendakwa menyimpan gambar dan video untuk memadamnya.

“Pun begitu, pada 26 Mei lalu, lelaki itu sekali lagi memintanya memasukkan wang RM400 ke dalam satu akuan bank yang didaftarkan atas nama seorang wanita,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Berdasarkan maklumat akaun bank itu, Nik Ezanee berkata, polis menahan wanita berusia 23 tahun itu di sebuah premis perniagaan di Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi pada 11 September lalu.

Beliau memberitahu, siasatan mendapati wanita itu adalah tunang kepada rakan bekas teman lelaki yang memeras ugut sebelum ini.

Susulan itu, katanya, polis menahan lelaki berusia 22 tahun di tepi Jalan SS 2/60, Sea Park.

“Semakan awal mendapati suspek lelaki yang mengaku melakukan perbuatan peras ugut itu mempunyai dua rekod lampau mengaitkan dadah,” katanya.

Siasatan ke atas lelaki itu katanya, akan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker