Garis panduan terkini untuk warganegara keluar, masuk negara

Jabatan Imigresen (JIM) menetapkan garis panduan terkini bagi warganegara yang ingin keluar dan kembali ke tanah air sehingga berakhirnya tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

JIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, beberapa kategori bagi ketetapan itu antaranya golongan yang tidak perlu memohon kelulusan, perlu memohon kelulusan dan tidak dibenarkan keluar negara serta prosedur untuk masuk semula ke Malaysia.

“Golongan yang tidak perlu memohon kelulusan JIM adalah diplomat dan tanggungan yang ingin bertugas di luar negara, pelajar yang menyambung pengajian dan baru mendapat tawaran belajar, pelajar yang mengambil peperiksaan dan pemegang Pas Jangka Penjang Luar di Luar Negara (pemastautin tetap/pas residen/pas kerja dan lain-lain).

“Bagi golongan yang perlu memohon kelulusan JIM adalah warganegara yang pernah mempunyai pergerakan masuk ke Malaysia dalam tempoh PKP, yang baru dapat tawaran bekerja, menghadiri mesyuarat/seminar/pameran/urusan perniagaan, urusan kecemasan dan mengiring anak untuk belajar.”

Mengulas lanjut, JIM memaklumkan kategori yang tidak dibenarkan meninggalkan negara ini ialah golongan yang ingin melancong dan lawatan biasa ke atas ahli keluarga lain.

Bagi prosedur untuk masuk semula ke Malaysia, JIM menetapkan warganegara yang pernah atau tidak pernah keluar dalam tempoh PKP juga dibenarkan memasuki negara tanpa perlu kelulusan JIM.

“Namun demikian, mereka tidak dibenarkan keluar negara semula tanpa mendapat kebenaran JIM, walaupun mempunyai Pas Jangka Panjang di Luar Negara.”

Katanya, warganegara Malaysia dari negara yang disekat atau memegang pas lawatan jangka panjang dari negara disekat, dibenarkan memasuki negara walaupun pernah keluar dalam tempoh PKP. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker