Bukan 2 pagi, waktu operasi premis perniagaan di KL kekal 12 tengah malam

Share

Waktu operasi premis perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) masih kekal sehingga pukul 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Pengurusan Krisis WPKL (CMCWPKL) yang bersidang pada 11 September.

Kenyataan itu berkata keseragaman waktu itu adalah bagi memudahkan pemantauan dilaksanakan oleh DBKL dan lain-lain agensi.


“Sepanjang tempoh PKPP, DBKL bersama lain-lain agensi telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP ke atas 7,200 premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.

“Hasil pemantauan yang dilaksanakan setiap hari mendapati tahap pematuhan SOP PKPP ini masih perlu ditingkatkan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Pada 10 September lepas, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.


Beliau dilaporkan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas hari ini selepas menerima banyak aduan pemilik premis yang pendapatan mereka terjejas kerana waktu operasi terhad.

Sehubungan itu, DBKL memohon kerjasama pemilik, pengendali premis perniagaan dan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan oleh pihak kerajaan serta kekal mengamalkan kawalan kendiri, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dan penjarakan fizikal apabila berada di tempat awam. BERNAMA

Leave a Reply