Bakal doktor ‘dipinang’ lebih 200 wanita

Menerima lebih 200 ‘permohonan’ untuk menjadi calon isteri.

Itu hasil kreativiti dilakukan Muhammad Naquib Hasief Baharin, 26, yang menawarkan jawatan kosong ‘pengantin wanita’ dengan memuat naik ‘resume’ serta kriteria bagi mencari wanita pilihan hatinya di Twitter, Ahad lalu.

Doktor siswazah yang sedang menjalani latihan perubatan (houseman) di Hospital Sultanah Aminah, Johor itu berkata, ramai wanita menghubunginya menerusi mesej peribadi (DM) di Instagram namun mengakui dia belum sempat membalasnya.

“Setakat hari ini, saya menerima lebih 200 mesej daripada wanita hingga membuatkan telefon bimbit saya mengalami gangguan.

“Mungkin saya memerlukan lebih masa untuk membalasnya. Namun jika ada mesej yang terlepas pandang, saya mohon maaf,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia akan membuat pemilihan berdasarkan kriteria, keserasian serta gerak hatinya selain mendapat restu keluarga.

“Rupa paras bukanlah keutamaan saya, yang penting wanita itu berpendidikan, sopan, pandai membawa dan menjaga diri selain serasi dengan keluarga saya.

“Sebenarnya, bukanlah niat mahu menjatuhkan maruah atau mempermainkan perasaan kaum hawa dengan cara macam ini, saya cuma mencuba nasib dan serius mencari calon isteri kerana mungkin sudah tiba masanya.

“Walaupun begitu, saya serahkan segala-galanya kepada Allah dan ‘follow the flow’ kerana perlu mengenali hati budi masing-masing terlebih dulu,” katanya.

Muhammad Naquib yang menetap di Skudai berkata, apa yang dilakukannya bukan kerana terdesak atau disebabkan desakan mana-mana pihak namun ia berlaku secara tidak dirancang.

“Saya tak pernah terfikir buat macam ini, semua berlaku secara spontan. Saya rasa tidak salah mencuba lagipun memang saya masih solo.

“‘Resume’ yang menceritakan perihal diri itu sebenarnya saya buat sekadar suka-suka untuk ‘presentation’ kelas Continuous Medical Education yang dihadiri di Kuala Lumpur.

“Kebetulan waktu itu saya tidak membawa komputer riba membuatkan saya memuat naik aplikasi di telefon bimbit untuk melakukan tugasan itu sebelum timbul idea mencari calon isteri dan memuat naiknya di Twitter.

“Tidak sangka perkongsian saya itu menarik perhatian ramai dan reaksi warganet malah mendapat sokongan keluarga membuatkan saya nekad meneruskan misi ini,” katanya. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker