Tolong bersabar untuk 14 hari, jangan guna ‘lorong tikus’

Alor Setar: Polis melakukan pemantauan lebih kerap di beberapa ‘lorong tikus’ di sekitar Kota Setar yang dipercayai digunakan penduduk untuk merentas ke daerah lain ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd Noor berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lorong tikus yang boleh menembusi ke daerah lain.

Beliau berkata, pasukan pemantau Covid-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sudah melakukan pemantauan di sekitar lorong tikus di daerah ini sejak semalam untuk memastikan tidak ada penduduk cuba keluar ke daerah lain.

Beliau berkata, tempoh kuarantin 14 hari tidak lama dan berharap orang ramai patuh pada arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengelak wabak Covid-19 daripada terus meningkat.

“Hanya 14 hari saja PKPD ini dan kita berdoa semoga wabak Covid-19 ini akan berkurangan.

“Saya berharap sepanjang tempoh ini, penduduk dapat bersama keluarga dan tidak keluar tanpa sebarang urusan kecuali ketua keluarga keluar membeli barangan keperluan harian pada tempoh had ditetapkan,” katanya ketika melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) hadapan Balai Polis Alor Janggus, di sini malam tadi.

Dalam SJR itu, pemandu kenderaan yang tidak mempunyai surat kebenaran memasuki bandar raya Alor Setar diarahkan berpatah balik menghala ke Kubang Pasu berikutan PKPD.

Sementara itu, Noor Azman berkata, jumlah keanggotaan SJR belum ditambah dan masih membabitkan 350 orang termasuk bantuan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tujuh SJR di daerah ini.

Beliau berkata, tujuh SJR yang dibuka sejak tengah malam kelmarin turut dikawal rapi bagi memastikan penduduk di Kota Setar mematuhi SOP yang ditetapkan berikutan peningkatan Kluster Telaga dan Kluster Sungai.

Sementara itu, tinjauan di sekitar bandar raya Alor Setar mendapati semua premis perniagaan ditutup sebelum jam 8 malam seperti arahan dikeluarkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). Khamis lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD dilaksanakan selama 14 hari di Kota Setar berkuat kuasa 11 September sehingga 25 September membabitkan 28 mukim di daerah Kota Setar-HM

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker