Salleh Said yakin DUN Usukan kekal milik BN

Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang kembali ke pangkuan UMNO pada Julai lalu, akan memastikan penguasaan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan.

Salleh, 63, yang menyandang kerusi berkenaan selama beberapa penggal sebelum berpindah ke Parlimen Kota Belud, berkata kempen kali ini akan dilaksanakan secara matang dengan menerangkan hala tuju kepada rakyat setempat.

“Kita mahu membuat mengubah pucuk pimpinan negeri di Sabah supaya Barisan Nasional (BN) dapat mengambil alih dan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

“Sabah tidak boleh lagi terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon DUN Usukan di Dewan Tun Said di sini, hari ini.

Salleh berdepan persaingan tiga penjuru menentang Abdul Bakrin Mohd Yusof daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Datu Mohd Nazaruddin Datu Tigabelas yang mewakili Parti Cinta Sabah (PCS).

Beliau yang menjadi Ketua Menteri Sabah kesembilan dari Disember 1994 hingga Mei 1996, menyerahkan borang pencalonan pada jam 9 pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Salleh bertanding merebut kerusi Parlimen Kota Belud tetapi tewas kepada calon WARISAN, Isnaraissah Munirah Majilis.

Sementara itu, Mohd Bakrin, 61, yang mewakili WARISAN, optimis dengan peluangnya memenangi kerusi itu manakala jentera juga sudah sedia turun berkempen.

“Saya yakin peluang kita cerah,” katanya yang juga bekas Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud sebelum bersara awal pada 2017.

Ini adalah kali kedua beliau bertanding di DUN itu selepas mencuba nasib pada PRU-14 yang menyaksikan calon BN, Datuk Japlin Akim, memenangi kerusi berkenaan.

Japlin kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Februari tahun lalu. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker