PRN Sabah: PPBM puji sikap terbuka PAS tak tanding

PETALING JAYA: Keputusan PAS memberi laluan kepada rakan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan pertandingan 2 penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah sikap terpuji, kata pemimpin PPBM.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Muhammad Faiz Na’aman berkata, rakan dalam PN juga perlu menjadikan sikap berjiwa besar PAS itu sebagai contoh dalam toleransi kuasa politik atas kepentingan dan agenda bersama bagi mentadbir negara.

“Kenyataan presiden PAS memberikan laluan kepada rakan bagi memastikan pertandingan 2 penjuru dapat diserlahkan dalam PRN Sabah adalah berjiwa besar serta memahami kepentingan muafakat secara taktikal atas wadah yang sama iaitu PN.

“Kunci di sini ialah diplomasi dan perkongsian berdasarkan realiti sosio-politik tempatan agar semua pihak merasakan semangat ‘kebersamaan’.

“Sesungguhnya simbol atau bendera yang dijunjung oleh PAS, PPBM, STAR dan PBS untuk PRN Sabah adalah 1 iaitu PN,” katanya sambil memetik kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki yang secara tersiratnya PAS bagaikan tetap bertanding di Sabah, iaitu melalui PN yang turut diwakili PAS.

Beliau berharap, rakan komponen lain dalam PN terus berusaha mengukuhkan lagi kesefahaman, pemuafakatan, kerjasama, perkongsian, toleransi dan saling hormat-menghormati supaya sasaran membebaskan Sabah daripada proksi DAP serta pihak berfikiran kenegerian sempit dapat dicapai.

PAS tetap kerah jentera

Sementara itu, Pemuda PAS menyatakan sayap parti Islam itu menerima keputusan presidennya untuk memberi laluan kepada sekutu mereka BN-PN di PRK Sabah.

Ketuanya Khairil Nizam Khirudin berkata, walaupun tiada calon PAS bertanding, pihaknya tetap akan menggerakkan jentera bagi membantu kemenangan calon yang mewakili BN-PN.

“Pemuda PAS akan bersama dengan jentera Pemuda PAS Sabah bagi membantu rakan kerjasama dari Umno, PPBM dan parti lain yang bertanding dalam PRN kali ini. Kegagalan kerajaan sebelum ini, harus diperbaiki dengan kerajaan baharu yang berjiwa rakyat, dan bersatu demi manfaat warga Sabah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Sabah pilihan raya ini jalan untuk mencorak masa depan negeri itu.

“Sudah tiba masanya rakyat Sabah menjadikan pilihan raya ini sebagai medan untuk masa depan Sabah yang lebih baik.

“Isu yang timbul lewat kebelakangan ini, seperti kekurangan infrastruktur, masalah capaian internet dan kemajuan negeri adalah menjadi bukti perlunya sebuah kerajaan negeri yang progresif, kukuh dan bersatu padu.

“Kita yakin rakyat Sabah sudah lama merintih dan mengidamkan kerajaan yang kuat, yang tidak terpengaruh dengan mainan dan aturan politik, yang bersih dan berintegriti serta komited membela rakyat,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker