Jimmy Palikat terus hasrat jadi calon demi bapa yang baru pergi

Share

Walaupun berat hati selepas pemergian bapanya 2 hari lalu, penyanyi lagu Anak Kampung, Jimmy Palikat tetap meneruskan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah kali ini.

Jimmy tiba di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Tambunan kira-kira jam 8.30 pagi tadi sebelum menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.15 pagi.

“Saya meneruskannya (menjadi calon) kerana ia juga adalah hasrat beliau (bapa) sebelum ini, dia merestui saya menjadi calon dan mahu melihat saya sebagai calon, namun apakan daya, dia tidak sempat (melihatnya).


“Sebelum beliau pergi, ketika berada di hospital, saya berulang kali berbisik kepadanya supaya bertahan, tapi mungkin ini sudah takdir, tapi saya akan teruskan niat ini.

“Walaupun dia sudah tiada, namun inilah hasratnya juga,” katanya ketika dihubungi FMT.

Jimmy berkata, keluarganya, terutama adik beradik beliau juga tidak menghalang keputusannya untuk menjadi calon kerana mereka tahu beliau mendapat restu daripada bapa mereka.


“Mereka semua faham dan memberi dorongan kepada saya, mudah-mudahan semuanya dipermudahkan.

“Kalah atau menang adalah perkara kedua bagi saya ketika ini, namun saya tetap akan mencuba yang terbaik.

“Buat masa ini saya akan berkabung beberapa hari dulu berikutan pemergian bapa dan selepas itu barulah saya akan mula berkempen,” katanya lagi.


Jimmy yang merupakan calon Bebas dijangka menghadapi laluan sukar di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan apabila berdepan pertandingan 6 penjuru.

Lawan beliau termasuklah presiden STAR, Jeffrey Kitingan, Laurentius Nayan Yambu (Upko), Sylvernus Bruno (PBS), Damian Richard Marcus Podtung (Parti Cinta Sabah), dan Nordin Jani (Parti Gagasan Rakyat Sabah). FMT

Leave a Reply