TUNTUTAN FARAID – BALU ABAM BOCEY BERSYUKUR SELESAI AKHIRNYA, IBU MENTUA TETAP DAPAT BAHAGIAN

Share

“Alhamdulillah, selesai urusan faraid. Pihak sana pun akan dapat bahagian mengikut hukum syarak. Saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah. Selepas ini doakan saja yang terbaik buat saya dan anak. Walaupun pihak sana tak hadir, tapi tidak mengganggu proses mahkamah sebab bahagian sudah dibahagikan.

“Apa saja yang ditinggalkan arwah seperti rumah, kereta, semua wang, jam tangan, kasut, kamera, telefon bimbit dan barang lain difaraidkan,” demikianlah kata balu Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah yang berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini berhubung tuntutan faraid yang difailkannya pada 15 Julai lalu yang kini segalanya sudah selesai.

Hidayah berkata, mahkamah menetapkan pembahagian berdasarkan hukum syarak melibatkan rumah, kereta, wang ringgit, barang peribadi seperti jam tangan, kasut, telefon bimbit, kamera dan barangan lain peninggalan arwah suaminya.


Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai soal berapa banyak wang peninggalan arwah, Hidayah enggan mendedahkannya. Dalam pada itu, Hidayah menafikan dakwaan kereta mewah milik arwah suaminya ditarik pihak bank.

“Keputusan untuk berpindah ke rumah itu pun, tak tahu lagi. Tunggu urusan faraid ini diselesaikan. Nak dapatkan kereta semula pun, Insya-Allah. Kereta kena tarik tak benar. Kereta masih ada, tapi saya tak nak komen lebih lanjut. Nanti akan tahu juga,” jelasnya.

Berkenaan dakwaan Ali Puteh mengenai wang RM10,000 dikeluarkan dari akaun arwah, Hidayah enggan mengulas lanjut sama ada ia akan dipulangkan semula atau difaraidkan, bagaimanapun dia tidak menggunakan satu sen duit berkenaan.


“Apa saya boleh katakan, RM10,000 memang saya ambil, tapi saya masukkan dalam akaun bank anak. Tak guna satu sen pun,” tutur Hidayah.

Hidayah turut memberitahu mahkamah menetapkan tarikh baru pada Oktober depan mengenai tuntuhan hadanah. Ia berikutan kegagalan pihak ibu mentuanya, Sabariah Arshad hadir ke mahkamah: “Saya harap selepas ini pihak sana akan hadir untuk kes hadanah,” katanya.

Sementara itu, usaha mendapatkan penjelasan daripada Ali tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon.


www.myartis.com / Sumber: Rotikaya & Harian Metro

Leave a Reply