Shafie tak boleh nasihat Juhar bubar DUN, kata peguam

Mahkamah Persekutuan diberitahu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu dihentikan kerana “ketua menteri tidak sah” menasihati Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, bekas ketua menteri Musa Aman tidak akan mendapat hasil proses pengadilannya jika Mahkamah Persekutuan menyatakan pemecatannya oleh Yang di-Pertua pada Mei 2018 sebagai tidak berperlembagaan.

Pilihan raya perlu ditangguhkan sehingga Mahkamah Persekutuan mendengar dan menolak rayuan Musa, katanya dalam penyerahannya di hadapan panel 3 hakim dipengerusikan Abdul Rahman Sebli hari ini.

Hakim lain adalah Zabariah Mohd Yusof dan Mary Lim Thiam Suan.



Firoz mewakili bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Jahid @ Noordin Jahim, yang memfailkan permohonan pada Selasa untuk menangguhkan keputusan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan DUN sementara menunggu penyelesaian pertikaian antara “2 ketua menteri” Musa dan Shafie.

“Krisis politik dan perlembagaan akan berlaku dan rakyat akan berasa tertipu kerana ketua menteri (Shafie) yang dilantik secara tidak sah menasihati Yang di-Pertua Negeri,” katanya.

Katanya, bagi mengelak pergolakan politik dan keseimbangan kemudahan, pilihan raya itu tidak berperlembagaan dan tidak perlu diadakan.

Katanya, Musa sudah lama menunggu dan mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonannya, tetapi kemudian berlaku pembubaran untuk membuka jalan bagi pilihan raya.



Pada 26 Ogos, Mahkamah Persekutuan, dengan keputusan majoriti 2-1, membenarkan permohonan Musa untuk meminta pengisytiharan beliau adalah ketua menteri Sabah yang sah selepas pilihan raya negeri ke-15 pada 2018.

Firoz mencadangkan rayuan Musa didengar dan diputuskan minggu depan sementara hari penamaan calon esok perlu ditolak.

“Pilihan raya boleh diadakan pada atau sebelum 28 September untuk memenuhi 60 hari (bagi mengadakan pilihan raya) mengikut perlembagaan negeri,” katanya.

Peguam Cyrus Das, yang mewakili Shafie, berkata permohonan itu adalah penyalahgunaan proses kerana rayuan Musa di Mahkamah Persekutuan tidak ada kaitan dengan pembubaran berkenaan.



“Jahid mengaitkan pembubaran itu dengan insiden pada Mei 2018 yang Musa disingkirkan secara tidak sah sebagai ketua menteri,” katanya.

Beliau berkata, Jahid, seorang bekas menteri dalam Kabinet Musa, hanyalah tokoh jaminan dalam pertikaian mengenai pemecatan Musa oleh Yang di-Pertua Negeri.

Das berkata, Mahkamah Rayuan pada Selasa mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang pembubaran DUN bukan bidang kuasa mahkamah.

Jahid salah seorang daripada 33 Adun yang mencabar pembubaran itu dan Mahkamah Rayuan juga telah menolak permohonan penangguhan secara lisan mereka untuk menggantung pilihan raya.



Das berkata, Musa dan Jahid sepatutnya memohon penangguhan untuk menghentikan pilihan raya selepas Mahkamah Persekutuan memberikan keizinan kepada Musa pada 26 Ogos kerana Suruhanjaya Pilihan Raya sudah mengeluarkan notis untuk mengadakan pilihan raya pada 17 Ogos.

“Mereka ‘beralih arah’ untuk menggunakan pertikaian ketua menteri yang belum selesai di Mahkamah Persekutuan untuk menghentikan pilihan raya sekarang,” katanya.

Peguam Besar Sabah, Brenndon Keith Soh, yang mewakili Yang di-Pertua berkata Jahid tidak menamakan ketua negeri sebagai pihak dalam permohonan penangguhannya walaupun keputusan untuk membubarkan DUN datang dari Juhar.

Mewakili Speaker Syed Abas Syed Ali dan Setiausaha DUN Bernard J Dalinting sebagai defendan, Soh berkata “butang reset sudah ditetapkan untuk memilih Adun dan kemudian membentuk kerajaan”.



Katanya, badan perundangan negeri akan terbentuk dalam 120 hari selepas pembubaran DUN pada 30 Julai.

“Kegagalan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh itu akan menggagalkan penubuhan badan eksekutif dan legislatif kerajaan,” katanya.

Perbicaraan bersambung 3 petang. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker