Pimpinan Pas luah ‘kekesalan’

Share

SHAH ALAM – Beberapa pimpinan Pas hari ini nampaknya meluahkan ‘kekesalan’ susulan tiada sebarang kerusi diperuntukkan oleh Perikatan Nasional (PN) kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Memetik laporan Malaysiakini, antara pemimpin tersebut ialah Bendahari Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Iskandar menerusi ciapan di Twitternya berkias menggunakan analogi tongkat Nabi Musa.


“Bila sakit cari tongkat, bila dah sihat buang tongkat. Tapi tongkat bukan sebarang tongkat.

“Macam tongkat Nabi Musa AS boleh jadi ular bila dicampak. Boleh patuk balik. Hati-hati,” katanya.

Dalam satu ciapan lain selepas itu, Iskandar yang juga bekas Naib Presiden Pas memberi peringatan kepada rakan-rakannya tanpa merujuk kepada mana-mana pihak.


“Kawan yang sebenar tidak akan makan sorang. Apa jenis kawan kalau tulang pun dia nak sapu?” soalnya.

Bagaimanapun, Iskandar ketika dihubungi Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp enggan mengulas lanjut.

“Tidak ada kena mengena dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia,” katanya.


Turut memberikan komen negatif adalah AJK Pas Pusat, Riduan Mohd Nor.

Katanya, “Orang berbudi kita berbahasa, orang tak bagi kita berlaga!”

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari juga turut meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan apa yang berlaku.

Dalam catatan di Facebooknya, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, “Orang berbudi kita berbahasa, orang tidak berbudi, tak payahlah kita berbahasa.”

Malah, ketika dihubungi Malaysiakini untuk mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menyerahkan kepada umum untuk memahami apa yang cuba disampaikannya itu.

“Terpulang kepada pemahaman masing-masing,” tambahnya.

Sementara itu, anggota Dewan Ulama Pusat Pas, Mokhtar Senik menyeru ahli parti supaya berpegang teguh kepada amalan taat dan walak yang dihadamkan di dalam jemaah dalam isu pembahagian kerusi.

“Ingat wahai adik-adik dan anak-anak. Jangan ditebang pokok kerana inginkan buahnya dan jangan dipetik buah sebelum masaknya,” katanya.

Bekas Ketua Ulama Pas Pahang itu juga memberi amaran supaya ahli parti sentiasa waspada.

“Jangan biarkan musuh mengharu-biru kita. Sedikit itu jauh lebih baik dari tiada langsung.

“Pas adalah parti dakwah bukan sekadar parti politik. Kerana itu Pas tidak kedekut dalam memberi dan tidak tamak dalam meminta-minta,” katanya.

Pas tidak diperuntukkan sebarang kerusi oleh PN mahupun Barisan Nasional (BN), serta tidak diundang dalam majlis pengumuman calonnya.

Sebelum ini, parti itu menyuarakan hasrat bertanding di 10 kerusi serta sedia menggunakan lambang BN atau PN.

Secara keseluruhan, BN akan bertanding sekurang-kurangnya 36 kerusi, manakala PN pula 28 kerusi.

Leave a Reply