Penduduk Kota Setar serbu pasar raya sebelum pelaksanaan PKPD

Share

Orang ramai mula sibuk membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran akan dilaksanakan mulai tengah malam ini.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar mini di daerah Kota Setar, di sini, mendapati penduduk setempat memenuhi pasar raya bermula jam 3 petang tadi.

Bagaimanapun, orang ramai dilihat mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika membeli barangan.


Penduduk Taman Vistana, Jalan Langgar, di sini, Haslina Helmi, 33, berkata, barang keperluan harian itu dibeli cukup untuk kegunaan sepanjang PKPD Secara Pentadbiran dilaksanakan.

Katanya, mereka sekeluarga akur untuk tidak keluar sepanjang tempoh arahan itu untuk mengelakkan jangkitan virus Covid-19 berlaku.

“Sebelum ini saya sudah rasa pengalaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika itu memang susah nak beli barang.


“Tapi apabila arahan PKPD diumumkan, saya ambil langkah bersiap sedia membeli barang untuk simpanan di rumah,” katanya ketika ditemui di Pasar Mini di Jalan Langgar, di sini.

Penduduk Taman Kelana, Jalan Langgar, di sini, Rafidah Aziz, 27, berkata kebanyakan barangan di pasar mini dan kedai runcit semakin susut disebabkan orang ramai membuat banyak pembelian.

Katanya, laluan masuk ke Bandaraya Alor Setar untuk ke pasar raya besar juga sesak dengan kenderaan.


“Saya hanya beli barangan yang perlu saja sementara menunggu tempoh kuarantin tamat,” katanya.

Hari inu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD Secara Pentadbiran dilaksanakan di daerah Kota Setar berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 25 September ini membabitkan 28 mukim di daerah Kota Setar.

Ia membabitkan 360,000 isi rumah di kawasan seluas 422 kilometer. HM

Leave a Reply