Kekal Anggun Selepas 25 Tahun, Sofia Jane Kongsi Gambar Jubli Perak Perkahwinan

Majlis perkahwinan adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan buat setiap daripada kita. Detik manis yang dilalui itu pastinya akan dikenang sampai bila-bila.

Tetapi mungkin tidak ramai daripada kita yang terbuka untuk berkongsikan gambar-gambar perkahwinan yang telah lama berlalu dengan orang luar daripada keluarga terutamanya jika anda adalah seorang artis popular.

Bagaimanapun, pelakon terkenal ketika era 90-an, Sofia Jane dilihat berkongsikan kembali gambar majlis perkahwinannya yang berlangsung 25 tahun lalu melalui satu ciapan yang dibuat melalui akaun Twitternya pagi tadi.

“Jubli perak,” tulisnya ringkas sambil berkongsikan beberapa keping gambar majlis perkahwinan dan juga gambar terkini mereka.

Perkongsian tersebut yang sehingga artikel ini ditulis sudah pun mencatat lebih 3,000 retweet membuatkan netizen teruja terutama dengan hampir tiada perubahan ketara yang dilalui bekas pemenang anugerah Pelakon Filem Wanita Popular (ABPBH) 1993 dan juga Pelakon TV Wanita Popular (ABPBH) 1994.

Sofea Jane sebelum ini berkahwin dengan Datuk Meor Zain Azman pada 1995 dan dikurniakan tiga cahaya mata sepanjang perkahwinan mereka. Beliau sebelum ini berusia 23 tahun ketika membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Tidak dimamah usia

Melihat kembali gambar-gambar yang dikongsikan Sofia Jane itu, rata-rata netizen berpendapat pelakon popular itu tidak dimamah usia walaupun perkahwinannya sudah berusia 25 tahun.

Rata-rata netizen yang meninggalkan komen di kiriman tersebut memuji pelakon tersebut yang mampu mengekalkan kejelitaannya dan tidak kurang juga yang bertanya rahsia awet muda beliau.

Sofia Jane suatu ketika dahulu pernah popular dan mula dikenali ramai dengan penampilannya dalam filem Mira Edora.

Adakah anda sebahagian daripada generasi yang membersar dengan filem dan lakonan antara artis wanita popular suatu ketika dahulu ini?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker