Jangan bimbang, kita tidak akan laksanakan PKP ketika ini – Ismail Sabri

Kerajaan tidak akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan perkara itu sebagai menjawab khabar angin yang mengatakan PKP akan dilaksanakan susulan 100 kes COVID-19 yang diumumkan baru-baru ini.

Sebaliknya, kerajaan menumpukan kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di kawasan sasaran iaitu lokasi terkesan COVID-19.

“Jadi kita hanya kawal pergerakan rentas melalui PKPD secara pentadbiran di kawasan sasaran. Jadi tidak timbul persoalan mengenai rentas negeri.



“Jadi khabar angin mengatakan apabila kes mencecah 100, kita akan ditutup iaitu PKP macam dulu. Jangan bimbang kita tidak akan laksanakan PKP setakat kita masih mampu tutup lokaliti-lokaliti tertentu,” katanya dalam sidang media mengenai PKPP di sini pada Khamis.

Jelasnya, langkah PKPD secara pentadbiran di Kota Setar dan Tawau selaras dengan mekanisme sama dilakukan di kluster terdahulu termasuk Kluster Sivagangga.

“Jika ada kes mendadak, kita tidak tutup negeri, tidak seperti dulu. Sebagai contoh apabila berlaku di Kluster Sivagangga yang menyaksikan berlaku penularan cepat, tetapi kita tak tutup seluruh negeri dan daerah, sebaliknya hanya (PKPD secara pentadbiran) di tiga kampung di Kedah dan dua kampung di Perlis. Kali ini, kaedah kita ialah tutup kawasan terlibat sahaja seperti di Tawau , kita tutup penjara,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, katanya, keputusan mengenai cadangan melanjutkan tempoh aktiviti sukan lebih daripada jam 12 tengah malam, akan diumumkan Selasa depan.



“Insya-Allah hari Selasa depan kita akan bermesyuarat. Saya tidak mahu buat keputusan sendiri. Kalau premis makanan boleh lepasi pukul 2 pagi, saya tidak ada halangan.

“Walau bagaimanapun, saya tidak boleh buat keputusan sendiri, saya akan bawa perkara ini Selasa depan dan kita umumkan,” ujarnya. Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker