Isu Melayu Islam, prestasi menteri antara tumpuan muktamar PAS

 

Selain membincangkan agenda berkaitan Melayu-Islam, PAS juga perlu melihat isu pengagihan kerusi untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang semasa bermuktamar nanti, kata penganalisis politik.

Ini kerana, menurut Prof Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia, pengagihan kerusi merupakan isu kritikal yang melibatkan tiga parti berasaskan Melayu-Islam dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Pengagihan kerusi ini paling kritikal kerana melibatkan Bersatu, Umno dan PAS yang akan bertanding di kawasan yang memiliki pecahan pengundi sama iaitu majoriti Melayu,”

Selain itu, Rusdi menjangkakan isu kerjasama politik dalam PN dan Muafakat Nasional (MN) bakal menjadi agenda utama dalam muktamar yang akan diadakan di Kelantan hujung minggu ini.

“Sama ada mereka akan berpihak kepada Bersatu atau Umno juga mungkin akan menjadi agenda utama,” katanya.

Pada masa sama, dia berkata tidak mustahil terdapat perwakilan yang akan menyentuh isu prestasi menteri PAS yang kini dilihat gagal menunjukkan prestasi membanggakan berbanding menteri lain.

Pada masa sama Rusdi berpendapat suara menteri dari PAS dalam kerajaan seakan-akan disekat.

Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia turut sependapat dengan Rusdi. Dia melihat prestasi menteri dan timbalan menteri PAS akan disentuh oleh perwakilan nanti.

Lindungi menteri

“Ketika ini rakyat tiada keyakinan terhadap kebolehan ahli parlimen PAS dalam kabinet.

“Menteri dan timbalan menteri dari Umno lebih cemerlang,” katanya sambil memetik kontroversi yang dicetuskan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi, Mohd Khairuddin Aman Razali yang gagal menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Turki.

“Isu Khairuddin perlu dibincang kerana kemelut ini terpalit pada PAS sebagai parti politik.

“Ketika ini PAS dilihat melindungi Khairuddin, sementara rakyat menilai dia melakukan kesalahan,” katanya.

 

Tambah Azmi, isu nasional dan antarabangsa juga perlu dibahaskan oleh PAS.

Hal itu kerana, katanya, walaupun PAS berada dalam kerajaan, rakyat masih sangsi dengan kebolehan pemimpin parti itu berhadapan isu antarabangsa dalam kementerian masing-masing.

“Isu pembahagian kerusi PRU15 pula akan pasti disentuh kerana jika diperhatikan, PAS berada di belakang Bersatu dan Umno dalam hal pengaruh, sama ada dalam struktur PN atau MN,” katanya.

Oleh itu, Azmi berpendapat PAS wajar meluaskan strategi dan pengaruhnya melebihi sekadar tiga negeri di bawah pentadbirannya sekarang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Beri gambaran masyarakat majmuk

“PAS tidak boleh kekal seperti sekarang jika ingin jadi parti politik dihormati,” katanya.

Sementara itu, pemimpin veteran PAS Dr Mahfodz Mohamed menjangkakan perwakilan akan terus menggesa parti Islam itu menjuarai isu Islam dalam pentadbiran.

“Mungkin perwakilan muktamar akan menggesa PAS terus menjuarai isu Islamisasi dalam pentadbiran dan penguatkasaan undang-undang supaya dilihat lebih tegas dan adil kepada semua,”

Mahfodz yang juga bekas ketua Dewan Ulama Pusat parti itu berkata dia juga yakin perwakilan akan menggesa supaya pemimpin PAS memastikan kemenangan dalam PRU15 nanti.

“Untuk memastikan kemenangan dalam PRU15 mesti orang Melayu-Islam dan bumiputra bersatu.

“Bukan sahaja dalam MN dan PN, bahkan parti di Sarawak dan Sabah bersama dalam kerajaan yang menggambarkan kemajmukan negara dan parti-parti pemerintah,” katanya apabila ditanya mengenai jangkaan agenda yang akan dibangkitkan dalam muktamar ke-66 itu.

Susulan wabak Covid-19 yang melanda di seluruh dunia, muktamar kali ini akan diadakan menerusi dalam talian dan disiarkan secara langsung di media sosial bagi membolehkan semua ahlinya dapat mengikuti perhimpunan tahunan tersebut.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata bahawa, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kehadiran dihadkan kepada 300 perwakilan serta yang dipertua kawasan serta empat perwakilan dari Kelantan dibenarkan hadir memandangkan muktamar diadakan di negeri itu.

Memandangkan negara masih menjalani tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan sehingga 31 Dis ini, difahamkan muktamar kali ini turut dihadkan berlangsung selama sehari saja berbanding tiga hari sebelum ini.

Muktamar tahun ini juga bersamaan dengan setahun usia MN selepas dimeterai pada 14 September tahun lalu.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker