Asyraf dan Papagomo minta Muhyiddin pertimbang kerusi untuk Pas

Cadangan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo agar Bersatu mempertimbangkan satu atau dua kerusi untuk Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ada kewajarannya.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan cadangan itu mempunyai asas kukuh, apatah lagi Pas kini menjadi komponen penting dalam pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

“Ada benarnya pandangan ini. Mohon Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi PN mempertimbangkan kerusi kepada Pas di PRN Sabah,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengulas hantaran terbaru Facebook milik Wan Muhammad Azri hari ini bahawa Bersatu wajar mempertimbangkan satu atau dua kerusi kepada Pas di PRN Sabah.

“Bersatu mesti ikhlas kepada Pas sebagai rakan komponen parti PN.

“Tanpa Pas, PN tidak dapat didaftarkan. Inilah masa untuk menghargai Pas,” katanya.

Selasa lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti Islam itu berhasrat bertanding 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sabah.

Menurut Takiyuddin, walaupun Pas tidak pernah memenangi sebarang kerusi di Sabah, namun beliau berharap tiada pertembungan tiga penjuru jika diberi peluang bertanding khususnya kerusi tradisi di Tawau dan Kalabakan. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker