Pernah Beli Syarikat Lotus Secara Tunai, Ini Kisah Tragik Kematian Jutawan Tan Sri Yahaya

Pernah menggegarkan dunia dengan membeli Lotus secara tunai, nama Tan Sri Yahaya Ahmad tidak asing lagi ketika tahun 90-an. Beliau yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan DRB Hicom itu terkenal dengan sikap rendah dirinya.

Tan Sri Yahaya juga merupakan salah seorang usahawan dan tokoh korporat Bumiputera yang berjaya diangkat ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Bawa motor kapcai

Semasa hayatnya, Tan Sri Yahaya mengetuai Kumpulan DRB Hicom di mana banyak perniagaan dijalankan di bawah rangkaian DRB termasuklah Proton, Alam Flora, Intrakota dan pelbagai lagi.

Beliau amat diingati dengan kesungguhan beliau dalam menyelesaikan masalah rungutan penumpang bas Intrakota terhadap tahap perkhidmatannya. Tiada protokol yang dipentingkan, sikap merendah diri beliau lebih terserlah apabila beliau menunggang sendiri motosikal kapcainya mencelah kesibukan kenderaan di sekitar Kuala Lumpur tanpa mengira di awal pagi sebelum matahari terbit mahupun waktu panas terik.

Tolong usahawan Bumiputera

Selain itu, kejayaan beliau juga banyak didokong oleh Tun Dr Mahathir dan boleh dikatakan beliau merupakan anak emas kepada Tun Dr Mahathir. Tan Sri Yahaya juga amat terkenal dengan sikapnya yang tidak sombong, merendah diri dan suka menolong orang ramai.

Beliau juga sering menolong usahawan-usahawan Bumiputera yang lain, jika satu projek diberikan kepadanya, seribu projek beliau akan turunkan kepada usahawan-usahawan tersebut. Tun Dr Mahathir juga banyak bergantung kepada beliau dalam membantu kaum Bumiputera. Hubungan akrab itu terserlah apabila Tun Dr Mahathir menangis teresak-esak ketika melawat jenazah mangsa.

Walaubagaimanapun, lumrah kehidupan, hubungan akrab beliau dan Tun Dr Mahathir pada masa itu mengundang rasa tidak senang ahli korporat lain yang berperangai lintah darat.

Terkejut dengan kejadian

Tanggal 3 Mac 1997, Tan Sri Yahaya Ahmad telah disahkan terbunuh dalam kemalangan melibatkan sebuah helikopter yang terhempas di sebuah kampung terletak di Kuala Lipis, Pahang. Beliau yang pernah belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar itu sememangnya amat disayangi orang ramai dan berita kematian beliau itu sememangnya mengejutkan rakyat Malaysia.

Ketika kejadian, beliau bersama isterinya, Puan Sri Rohana Othman dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu bagi menziarahi ibunya yang sedang sakit tenat. Helikopter jenis Agusta A109E Power milik Gadek Aviation Services Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat DRB Hicom itu dipandu juruterbang, Mejar (B) Azlizan Abdul Manas. Pesawat yang baru dibeli itu juga merupakan model tercanggih pernah dikeluarkan oleh pembuat pesawat Agusta dari Itali.

Pesawat Agusta-109E yang mempunyai 6 tempat duduk itu dipercayai terjunam setinggi 2,900 meter ke celah-celah pokok getah di Kuala Lipis. Ketika dalam penerbangan, enjin helikopter tersebut dikatakan tidak berfungsi secara normal mengakibatkan kipas utama kehilangan kuasa dan berputar secara tidak seimbang yang mengakibatkan tekananan terhadap struktur kipas.

Dua kali letupan

Ketidakseimbangan ini mengakibatkan kipas itu patah dan hasil siasatan awal mendapati kipas utama helikopter tersebut juga patah sebelum helikopter terhempas. Menurut beberapa penduduk kampung berhampiran, mereka dikatakan mendengar dua letupan, iaitu sekali di udara dan sekali lagi di tempat pesawat itu terhempas. Berdasarkan keadaan di tempat kejadian, helikopter itu dipercayai terhempas tanpa kipas utama kerana tiada kesan libasan kipas pada pokok sekitar kawasan tersebut.

Sebaik sahaja helikopter itu terputus hubungan dengan menara kawalan, gerakan mencari dan menyelamat terus dijalankan oleh pihak berkuasa. Ketika pihak polis tiba di tempat kejadian, bangkai helikopter yang terhempas itu masih terbakar dan beberapa serpihan helikopter yang tertera perkataan DRB terdapat di kawasan tersebut. Pasukan gerakan yang diketuai Ketua Polis Daerah Lipis ketika itu, Superitendan Mahmud Embi serta kira-kira 20 anggota polis dan lima pegawai menjalankan gerakan mencari mangsa di kawasan lingkungan 50 meter dari tempat kejadian.

Walaubagaimanapun, gerakan itu gagal menemui mayat mangsa. Gerakan yang turut dibantu oleh 10 orang anggota bomba dan penduduk kampung itu diteruskan sehinggalah mayat mangsa ditemui pada jam 1 pagi. Mayat mereka ditemui di bawah cebisan bangkai helikopter itu kira-kira dua jam selepas pesawat terhempas. Selain itu, pasukan mencari dan menyelamat itu juga menemui sebelah kasut wanita dan sebuah beg tangan. Tiga daripada kipas helikopter juga ditemui di tiga tempat yang berasingan manakala satu lagi bahagian helikopter ditemui penduduk kampung beberapa hari kemudian.

Mangsa dibawa ke Terengganu

Mangsa iaitu Tan Sri Yahaya dan isteri, juga juruterbangnya dibawa ke Hospital Kuala Lipis, kira-kira jam 5.20 pagi untuk proses bedah siasat sebelum dibawa ke Marang, Kuala Terengganu. Jenazah kemudiannya diterbangkan menggunakan pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada keesokannya jam 9.45 pagi ke Hospital Kuala Terengganu dan dikebumikan.

Di tempat kejadian, pasukan pencari serpihan dan barangan nahas menjumpai dua beg yang dipercayai milik tokoh korporat itu dan isterinya. Kedua beg itu dijumpai di kawasan bukit kira-kira 300 meter dari tempat tragedi. Barangan itu dijumpai pada jam 1.30 tengah hari pada hari keempat kejadian nahas itu. Pada hari ke-12 selepas nahas itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menemui bilah rotor terakhir helikopter. Walaubagaimanapun syarikat pembuat helikopter itu juga telah menghantar jurutera mereka bagi menyiasat punca kemalangan tersebut.OB

NOTA: ADA JUGA KHABAR YANG MENGATAKAN KEJADIAN TERSEBUT ADALAH RANCANGAN PIHAK TERTENTU

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker