Majlis pengumuman calon PN dan BN, PAS tiada jemputan?

Share

PRN SABAH | Di sebalik kerjasama dan hubungan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), PAS dan BN tidak dijemput semasa majlis pengumuman calon gabungan tersebut pagi tadi.

“Kita tak dijemput,” jawab Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling

Bagaimanapun, menurutnya, PAS akan menunggu pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri dalam acara yang menurutnya akan berlangsung esok pagi.


Kata Mohd Aminuddin, dia sendiri sebenarnya tertunggu-tunggu pengumuman Muhyiddin esok dan wakil pimpinan PAS Pusat juga turut bersama.

Pun begitu katanya PAS akan berlapang dada dan menerima apa saja keputusan diambil dengan hati terbuka.

“Itulah (pengumuman esok) yang sahihnya, itulah berita yang tepatnya. Kalau dia (Muhyiddin) kata PAS tak bertanding, tak bertandinglah.


“Kalau dia kata bertanding sekian-sekian kerusi… 10 kerusi, maka PAS (akan) bertanding 10 kerusi,” tambahnya lagi.

 

 

Petang tadi, PN melalui Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor, mengumumkan calon mereka untuk bertanding di 29 kerusi namun susunan yang dibuat itu menyaksikan berlaku pertembungan dengan BN di sekurang-kurangnya tiga kerusi.

Jemputan melalui WhatsApp


Umno pula mengumumkan akan bertanding di 31 kerusi pada majlis yang menyaksikan Bersatu menarik diri dari majlis itu pada saat-saat akhir.

Ia berlaku ketika PN dan BN dilihat bekerjasama di Putrajaya.

Untuk rekod PN merupakan gabungan longgar membabitkan Bersatu yang disokong PAS. Pada masa sama – dan berlaku lebih awal – PAS juga merupakan sekutu Umno melalui Muafakat Nasional (MN).

Umno pula memutuskan tidak menyertai PN sebaliknya mahu mengukuhkan MN. MIC pula menarik diri selepas membuat keputusan menyertai gabungan berkenaan sebelum itu.

Hubungan yang tegang di antara Umno dan Bersatu juga pernah disaksikan di negeri-negeri lain sebelum ini.

PAS sudah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding di 10 kerusi pada 8 Sept lalu.

Mengenai majlis akan dihadiri Muhyiddin esok, Aminuddin berkata, dia ada menerima jemputan melalui aplikasi WhatsApp.

Pada masa sama, katanya, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan terlibat sama dalam perbincangan mengenai pengagihan kerusi sehingga semalam.

“Mungkin yang tadi tu dia umum sama-sama dia (saja) kot,” katanya lagi.

Sementara itu menurut jemputan yang dihantar kepada media, Muhyiddin dijadual melakukan lawatan rasmi dan perjumpaan bersama pimpinan parti Sabah di Hotel Magellan Sutera jam 10.45 pagi.

Secara umum, hanya dua parti dalam kerajaan persekutuan akan bertanding menggunakan logo PN, iaitu Bersatu dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Parti yang mengesahkan bertanding bawah logo BN pula ialah Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA, manakala Parti Bersatu Sabah (PBS) bertanding menggunakan logo sendiri.

PAS yang sebelum ini sedia menggunakan logo BN atau PN untuk bertanding pula tidak kelihatan pada kedua-dua majlis pengumuman calon PN mahupun BN.

Secara keseluruhan, BN akan bertanding di sekurang-kurangnya 36 kerusi, berbanding PN yang akan bertanding di 28 kerusi.

Acara pengumuman calon PN tadi hanya disertai tiga parti, iaitu Bersatu, Star dan Parti Progesif Sabah (SAPP). Namun SAPP bukan sebahagian daripada kerajaan PN. PAS pula tidak kelihatan.

Presiden Star Jeffrey Kitingan barasakan PAS tidak akan diberikan kerusi kerana “sentimen” akar umbi.

Leave a Reply