Lelaki cedera parah diserang, empat kenderaan rosak

Share

BUTTERWORTH – Seorang pemandu van kilang mengalami kecederaan parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang yang turut merosakkan empat buah kenderaan mangsa dalam kejadian di hadapan rumahnya di Kampung Perlis, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 11 pagi oleh jiran mangsa yang menghubungi polis memaklumkan terdapat sekumpulan lelaki menyerang jirannya sehingga ada yang cedera parah.

“Sepasukan polis yang ke lokasi kejadian mendapati mangsa iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun mengalami kecederaan parah di badan serta tangan hampir putus telah dihantar ke sebuah hospital swasta di Butterworth dan perlu menjalani pembedahan segera.


“Menurut mangsa dalam kejadian jam 10.30 pagi, dia berada di rumah sebelum didatangi enam lelaki yang dikenalinya dengan bersenjatakan parang bertindak menyerangnya dan merosakkan empat buah kereta termasuk van kilang serta cermin rumah dia,” katanya di sini hari ini.

Katanya, mangsa berkata kumpulan lelaki tersebut menyerangnya kononnya masih tidak berpuas hati dengan anak lelakinya yang ditampar seorang daripada suspek terbabit dalam kejadian semalam di Taman Mewah, di sini.

Noorzainy berkata, pemandu van itu turut bertindak mempertahankan diri dengan menyerang kembali seorang daripada mereka dengan menggunakan parang yang terjatuh disyaki milik seorang daripada suspek tersebut.


Katanya, suspek itu turut mengalami kecederaan pada bahagian tangan kanan iaitu luka akibat senjata tajam dan dia menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Susulan kejadian itu, polis menahan lelaki yang cedera tersebut bersama dua rakannya dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut, yang kesemua berusia 24 hingga 26 tahun. Polis ketika ini sedang mengesan tiga lagi lelaki turut terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 326,148 dan 427 Kanun Keseksaan iaitu pukul, merusuh serta merosakkan kenderaan dan rumah. – Bernama


Leave a Reply