Bekas Adun mohon henti PRN Sabah sementara tunggu pertikaian Musa-Shafie selesai

Share

Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan menangguhkan keputusan Yang di-Pertua Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok sementara menunggu penyelesaian pertikaian antara “2 ketua menteri” Musa Aman dan Shafie Apdal.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli Jahid @ Noordin Jahim memfailkan permohonan itu pada Selasa.

Peguamnya Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, Mahkamah Persekutuan memaklumkan kepada mereka mengenai tarikh pendengaran petang semalam.


“Mungkin pukul 9 pagi. Kami sudah menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak berkenaan,” katanya kepada FMT.

Jahid menamakan Shafie, Speaker Syed Abas Syed Ali dan Setiausaha DUN Bernard J Dalinting sebagai defendan.

Sebagai tindak balas segera Peguam Besar Sabah Brenndon Keith Soh berkata mereka akan menentang permohonan itu.


“Kami percaya mempunyai hujah yang baik untuk menghentikan penangguhan itu,” katanya.

Jahid dalam permohonannya menyatakan keputusan Yang di-Pertua Juhar Mahiruddin membubarkan DUN ke-15 pada 30 Julai ditangguhkan sehingga permohonan itu diketepikan.

Katanya, surat perintah atau notis pilihan raya dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi 73 DUN di negeri itu juga akan ditangguhkan.


SPR menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini dan pilihan raya pada 26 September.

Jahid dalam afidavitnya menyatakan rayuan Musa di Mahkamah Persekutuan akan bersifat akademik jika pilihan raya diadakan.

Pada 26 Ogos, Mahkamah Persekutuan, dengan keputusan majoriti 2-1, membenarkan permohonan Musa untuk meminta pengisytiharan beliau adalah ketua menteri Sabah yang sah selepas pilihan raya negeri ke-15 pada 2018.

Hakim Abdul Rahman Sebli berkata, kebenaran rayuan Musa dan Jahid mesti didengar kerana persoalan undang-undang yang dikemukakan sangat penting.

“Ini perlu diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan dan tidak boleh dibiarkan tergantung,” katanya.

Rahman berkata, rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada penyingkiran Musa dilakukan secara sah dan mengikut perlembagaan Sabah.

Hakim Zabariah Mohd Yusof bersetuju dengan Rahman. FMT

Leave a Reply