Warisan Plus belum umum, PKR dah kata tanding 14 kerusi

Ketua Penerangan PKR Sabah Simsudin Sidek hari ini mengumumkan parti itu akan bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Katanya, kerusi itu membabitkan Api-Api, Inanam, Tempasuk, Tamparuli, Matunggong, Klias, Sook, Kemabong, Segama, Limbahau, Sungai Manila, Membakut, Pintasan dan Petagas.

Bagaimanapun, persoalan timbul apabila beberapa kawasan yang bakal ditandingi PKR itu juga dikatakan akan ditandingi parti lain dalam Warisan Plus.

Selain itu, lazimnya pengumuman berhubung kerusi atau calon dibuat oleh presiden atau pengerusi PKR Sabah namun kali ini ia dilakukan ketua penerangan negeri.

“Keanggotaan PKR Sabah mencecah lebih 170,000 orang, menjadikan Sabah negeri ke-2 tertinggi dari segi keanggotaan parti selepas Selangor.

“Oleh sebab itulah, parti kali ini ingin meletakkan 14 orang calon DUN, 1 peningkatan yang munasabah memandangkan bilangan kerusi DUN juga meningkat dari 60 sebelum ini kepada 73 untuk PRN Sabah 2020,” kata Simsudin dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada PRN kali ini PKR Sabah sudah melakukan tapisan rapi untuk memastikan calon yang berwibawa, termasuk muka baharu daripada golongan muda dan wanita.

“Sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang telah lama menyertai pilihan raya, PKR juga berhasrat menampilkan calon Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina.

“PKR juga ingin mempunyai calon di segenap pelosok Sabah,” katanya.

Sementara itu, sumber PKR Sabah ketika dihubungi FMT enggan mengulas lanjut mengapa pengumuman berhubung jumlah kerusi ditandingi bukan dibuat oleh pengerusinya.

Bagaimanapun, katanya wakil parti itu akan hadir pada pengumuman calon Warisan Plus yang akan diumumkan ketua menteri Shafie Apdal, esok.

“Saya tidak pasti sama ada calon yang akan bertanding di kawasan diumumkan oleh ketua penerangan negeri hadir atau tidak, mungkin ada yang hadir namun pengerusi negeri iaitu Christina (Liew) akan hadir esok.

“Kita tunggu dan lihat apa akan berlaku esok,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker