Tiada usul undi tidak percaya MB Johor

Johor Bahru: Tiada usul undi tidak percaya dalam senarai usul yang disenaraikan untuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, esok dan Ahad ini.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, usul undi tidak percaya tidak terkandung antara lima usul yang akan dibahas dan diluluskan untuk sidang kali ini.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengemukakannya pada bila-bila masa sebagai undi tergempar sepanjang sidang DUN.

Katanya, kebiasaannya, setiap usul yang mahu dibahas dan diluluskan persidangan DUN perlu dihantar ke Pejabat Jurutulis dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh sidang DUN diadakan.

“Setakat ini, tiada usul tidak percaya kepada Menteri Besar dan kerajaan sedia yang dihantar dalam tempoh 14 hari lalu, melainkan lima usul yang dihantar dan sudah disenaraikan untuk sidang kali ini.

“Lima usul itu adalah usul pakej rangsangan ekonomi, pelantikan jawatankuasa dewan, pelantikan Ahli Dewan Negara, bajet tambahan dan terakhir sekali adalah usul daripada wakil rakyat pembangkang iaitu pengurangan cukai tanah.

“Namun jika ada usul tergempar dikemukakan termasuk undi tidak percaya, saya selaku speaker berhak untuk menentukan usul berkenaan sama ada diterima atau sebaliknya,” katanya ditemui.

Pergolakan politik Johor kembali memuncak apabila beberapa ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk bekas Menteri Besar Datuk Osman Sapian yang juga ADUN Kempas, dikhabarkan bakal meninggalkan gabungan Perikatan Nasional (PN) Johor.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, tiada ADUN Bersatu yang mengisytiharkan keluar mahu pun dipecat daripada parti.

Kerajaan PN kini memiliki 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi dengan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri ialah 29 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN ialah, 14 milik UMNO, Bersatu (12), dua MIC dan satu PAS manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, sekiranya usul undi tidak percaya dikemukakan dan ia memperoleh sokongan, maka perkara itu terserah kepada Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad untuk tindakan selanjutnya.

“Menteri Besar boleh memilih dua pilihan iaitu meletak jawatan atau menasihati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk pembubaran DUN.

“Namun, semuanya terpulang kepada Menteri Besar,” katanya.

Suhaizan turut memberi gambaran tiga situasi yang boleh berlaku ketika sesi pengundian dilakukan.

“Pertama, jika mana-mana usul berhadapan undi seri iaitu 28-28 maka speaker boleh menjadikan undi penentu terhadap usul berkenaan sama ada menyokong atau menolak.

“Jika kerajaan kalah pengundian usul, maka satu-satu usul itu boleh ditolak sekali gus memberi kesan kepada kedudukan kerajaan negeri (PN), ” katanya. -HM

Related Articles

One Comment

  1. Usul sahaja undi tidak percaya kepada MB Johor..
    Biar MY pening nak fikir PRN Sabah dan Johor sekali..
    Pandai buat pandai tanggung lah..
    MY ni bukan manusia kenang budi..

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker