PRN Sabah: Tidak menyerah, Musa Aman rayu mahkamah dengar kes sebagai KM segera

Tan Sri Musa Aman membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung kes sebagai Ketua Menteri (KM) Sabah didengar dengan segera.

Jelas Musa, isu itu penting kepada rakyat Sabah dan mesti diselesaikan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept ini kerana mempunyai kesan langsung terhadap kesahihan pilihan raya tersebut.

Bukan itu sahaja, tegas Musa, sebarang penangguhan (pendengaran kes) dilihat sebagai menafikan proses menuntut keadilan.

“Ini kerana ia akan mempunyai kesan langsung kepada kes sedia ada jika Mahkamah Persekutuan mendengar kes itu selepas 12 September ini iaitu pada Hari Penamaan Calon. Barisan peguam saya telah meminta supaya sesi pendengaran diawalkan.



”Sehubungan itu, saya memohon Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara memberikan saya tarikh perbicaraan lebih awal berbanding apa yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

BACA: Mahkamah tolak rayuan cabar bubar DUN Sabah

Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga menjelaskan beliau dan 32 ADUN yang lain melahirkan rasa kecewa tetapi menghormati keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan berhubung kes pembubaran DUN Sabah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, pada Selasa membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak Tan Sri Musa Aman, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Istana Kehakiman di sini petang ini.



Kata Musa, beliau sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa penyingkirannya adalah tidak berperlembagaan.

“Justeru, sesiapa yang mengangkat sumpah selepas penyingkiran saya, adalah tidak lebih daripada sekadar perampas yang tidak sepatutnya diberi kebenaran untuk menjalankan tugas secara sahih mengikut perundangan sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Tindakan membenarkan individu sedemikian menjalankan tugas berasaskan perlembagaan sebagai ketua menteri bakal mengundang kesan berpanjangan, seperti yang kita saksikan pada masa kini,” katanya. Awani



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker