PRN Sabah: Bekas Adun Umno masuk PPBM boleh guna logo BN, kata Annuar

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang menyertai PPBM selepas pilihan raya umum lalu dibenar bertanding menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata, persetujuan itu sudah dicapai antara Umno dan PPBM.

Katanya, perbincangan pembahagian kerusi antara Umno dan PPBM juga hampir selesai.

“Umno dan PPBM sudah capai kata sepakat 95% atau 100% selesai dari segi jumlah kerusi yang akan ditandingi. Malah kita berunding secara harmonis hatta ada mereka yang menyeberang kepada PPBM, mereka boleh balik semula kepada Umno dan bertanding atas tiket BN.

“Jadi ada wakil rakyat yang sekarang ini dalam kelompok parti PPBM mereka berhasrat nak bertanding semula atas logo BN yang mana mereka diterima kedua-dua pihak jadi kita tidak mahu terlalu berhitam putih antara Umno dan PPBM, kerana ini asas penyatuan ummah dan semangat Muafakat Nasional (MN) antara Umno, PAS dan PPBM,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Annuar turut memaklumkan Umno dan PPBM akan bertanding kawasan majoriti Bumiputera Islam merangkumi 45 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dan ada 28 kerusi DUN kawasan bercampur atau kawasan Bumiputera bukan Islam,” katanya.

Beliau mengakui bagi kawasan Bumiputera bukan Islam proses rundingannya kompleks antara parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) membabitkan PBS dan STAR.

Setuju letak 1 calon

Dalam perkembangan sama, Annuar memaklumkan PN bersetuju meletakkan 1 calon parti bertanding di lebih 70% kawasan manakala selebihnya masih dalam proses rundingan.

Beliau juga tidak menolak terdapat beberapa kawasan, parti yang mendokong kerajaan PN akan meletakkan calon lebih daripada 1 parti.

“Ada beberapa kerusi yang sehingga hari ini masih dalam proses rundingan dan kemungkinan ada beberapa kerusi yang dibenar parti dalam PN meletak lebih 1 calon, bermakna kalau ada di situ PPBM kemungkinan ada STAR misalnya, kita terpaksa kaji mengikut profil dan juga kekuatan masing-masing, jadi 70% kerusi adalah yang PN letak secara 1 lawan 1.

“Itu pun di Sabah ia tak jadi begitu kita akan lihat banyak calon bebas (selain PH Plus), mungkin lebih 200 calon, masih tidak 1 lawan 1, tapi antara parti dalam PN itu ada 1 bentuk persefahaman, bila mana ada parti masuk ada parti lain tak masuk, tapi ada juga kerusi kita benarkan masuk lebih dari 1,” katanya.

Annuar berkata, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin akan mengumumkan pembahagian kerusi mengikut parti jam 2 petang esok.

“Kadang-kadang hingga ke saat akhir kedudukan berubah, jadi kita beri mandat kepada Bung untuk umum esok,” katanya ketika ditanya jumlah kerusi akan ditandingi mengikut parti mewakili PN. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker