KJ: Cara dua timbalan menteri kendali isu Veveonah tak betul

Share

Kabinet berpendapat isu Veveonah Mosibin tidak diuruskan dengan sepatutnya, kata Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kata Khairy jemaah menteri ada membincangkan isu pelajar Universiti Malaysia Sabah itu dalam mesyuarat pagi tadi dan mengambil maklum mengenainya.

Menurut bekas ketua Pemuda Umno itu lagi, kabinet tidak bersetuju dengan cara ia diuruskan oleh dua timbalan menteri, merujuk kepada Zahidi Zainul Abidin dan Abdul Rahim Bakri.


Zahidi merupakan timbalan menteri komunikasi dan multimedia, manakala Abdul Rahim ialah ahli parlimen Kudat yang dilantik Muhyiddin Yassin menjadi timbalan menteri kewangan.

“Kabinet ambil maklum kenyataan dua timbalan menteri tidak betul dan tidak wajar.

“Kabinet setuju isu sebenar adalah capaian internet dan kemudahan asas lain khusus di pedalaman,” ciap Khairy Jamaluddin di Twitter.


Kontroversi mengenai Veveonah tercetus selepas Zahidi mendakwa – di Dewan Negara – bahawa Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika dia merakam dan memuat naik video kesukarannya mendapatkan capaian internet.

Pada Jun lalu Veveonah terpaksa memanjat pokok dan duduk di situ bagi menjawab soalan peperiksaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan.

Akan usaha perbaiki


Bagaimanapun, Zahidi mendakwa Veveonah menipu namun dia mengaku tersilap berkenaan makluat tersebut dan meminta maaf.

Zahidi mendakwa dia mendapat maklumat berkenaan daripada Abdul Rahim. Abdul Rahim pula memberitahu dia mendapat maklumat tersebut daripada pegawainya.

Namun, dia memadam kenmyataan tersebut yang dibuatnya di media sosial selepas dihujani komen negatif daripada warga maya.

Zahidi kemudian menyalahkan DAP kerana didakwanya mempolitikkan isu tersebut.

Beberapa ahli parlimen pembangkang pula menyifatkan tindakan Zahidi dan Abdul Rahim itu sebagai buli siber.

Menyedari keadaan itu, Khairy Jamaluddin berkata, langkah untuk mengatasi isu capaian internet dan kemudahan asas yang lain.

“Kerajaan akan berusaha sebaik mungkin untuk perbaiki,” kata Khairy.

Leave a Reply