Kebun haram: Hak bangsa Melayu sebagai tuan tanah makin terhakis

Kes pencerobohan tanah kerajaan negeri secara haram di Raub seolah-olah siri penjarahan tanah yang dilakukan secara terancang dan tersusun.

Dengan kata lain, perkara itu adalah bentuk penjajahan di era baru yang sedang berlaku di negara ini, dakwa Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan, Muhammad Sabri Muda.

“Bagi kita bangsa Melayu dan beragama Islam merupakan tuan tanah kepada negara ini seharusnya berasa terancam dengan apa yang berlaku.

“Hak keistimewaan yang telah diberikan kepada kita sebagai tuan tanah semakin hari semakin terhakis. Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur hanya tinggal 12 peratus dan di Pulau Pinang sudah sifar.

“Begitu juga di negeri-negeri lain menunjukkan Tanah Rizab Melayu semakin berkurangan. Cuba bayangkan 50 tahun akan datang, apa yang akan berlaku kepada tanah air kita,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri Pahang bertegas dalam isu berkenaan dan tidak sesekali berkompromi dengan desakan mereka melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik untuk menghalalkan pencerobohan itu.

 

 

Muhammad Sabri percaya sekiranya kerajaan mengalah dengan desakan mereka, akan berlaku banyak lagi siri-siri tuntukan dan desakan selepas ini.

“Tidak mustahil slogan yang sentiasa dilaungkan selama ini Malaysia Tanah Airku akan menjadi Malaysia Tanah Air Milik Orang.

“Sebagaimana yang difahami, tanah adalah salah satu rukun kepada pembinaan sebuah negara. Sekiranya tanah yang dipijak ini dijarah secara rakus dan sudah menjadi milik orang, maka sedarlah kita bahawa kita sedang dijajah dan negara kita bakal lenyap daripada peta dunia.

“Jika sekiranya kita tidak sedar dan tidak buat sesuatu, tidak mustahil apa yang berlaku kepada negara jiran kita Singapura akan berlaku kepada negara kita suatu hari nanti. Tanah yang asalnya milik kita tetapi hari ini sudah menjadi milik bangsa asing,” katanya.

Muhammad Sabri turut percaya isu berkenaan mungkin akan menjadi seperti yang berlaku di Palestin hari ini yang mana sebuah negara berdaulat tetapi hari ini sudah lenyap daripada peta dunia.

“Penjarahan tanah yang dilakukan oleh Yahudi secara terancang dan tersusun sehingga mereka berjaya menguasai hampir keseluruhan tanah dan membentuk sebuah negara baru iaitu Israel di bumi Palestin,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan pencerobohan tanah kerajaan di Raub membabitkan tanah seluas lebih 4,400 hektar dan ia sudah berlaku lebih 40 tahun tanpa sebarang tindakan diambil pihak berkuasa.

Susulan itu, 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas untuk menangani kegiatan pengusaha durian itu dengan mengeluarkan notis pengosongan tanah kebun dan pajakan kepada penceroboh terbabit.

Bagaimanapun, penceroboh berkenaan berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara daripada Mahkamah Tinggi Kuantan terhadap notis itu pada 28 Ogos lalu.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker