Jangan tunduk ‘mainan’ Sumareh

Share

 

LEGENDA Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail menyokong tindakan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohamadou Sumareh yang didakwa tidak menghormati perjanjian dan berpindah ke kelab Thailand, Police Tero FC.

Menurutnya, PBNP perlu mengambil tindakan serius terhadap Sumareh agar insiden yang berlaku itu dijadikan pengajaran dan pemain lain tidak mengulangi tindakan yang dilakukan pemain kelahiran Gambia tersebut.

“Persatuan (PBNP) dah minta dia datang berbincang, tetapi dia tak nak datang. Ikut mana-mana pun kena buat tindakan undang-undang kerana persatuan dah bagi ruang dan peluang untuk berbincang. Sumareh sendiri pun dah sahkan dia main di Thailand walaupun isu dengan PBNP belum selesai.


“Jika Pahang ada asas yang kukuh untuk saman atau ambil tindakan kepadanya, kena teruskan sebab dia mungkin dah langgar perjanjian yang dibuat. Dia tidak profesional untuk datang berbincang dan pilihan yang ada hanya bawa perkara ini ke muka pengadilan.

“Tindakan tegas ini akan jadi pengajaran buat pemain lain. Apabila seseorang pemain itu sudah ada perjanjian, maka ada klausa yang perlu dipatuhi. Sebab itu perbincangan perlu dilakukan supaya tidak timbul perkara macam ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Sumareh mengumumkan menyertai kelab Thailand, Police Tero FC selepas membuat keputusan mengejut meninggalkan Pahang dengan mendakwa PBNP tidak membayar gajinya, sekali gus mengaktifkan klausa 8.7 yang terkandung dalam kontraknya.


ARTIKEL BERKAITAN:  PBNP ambil tindakan undang-undang terhadap Sumareh

PBNP menafikan perkara tersebut selain mengakui kecewa dengan tindakan Sumareh dan bersedia mengambil tindakan undang-undang ke atas pemain naturalisasi pertama skuad Harimau Malaya itu.

Bagaimanapun, tindakan PBNP itu menerima kritikan daripada segelintir pihak yang menyifatkan tindakan undang-undang oleh persatuan itu tidak wajar, apatah lagi Sumareh tidak dibayar gaji yang menyaksikan dia mengambil langkah meninggalkan Pahang.


“Macam perpindahan Matthew Davies dulu tak ada pun kecoh-kecoh macam ini dan Pahang pun rela melepaskan dia. Kenapa Sumareh pula jadi macam ini? Pahang bukanlah pasukan yang tiada perasaan.

“Kalau Sumareh datang elok-elok berbincang dan menjelaskan dia sudah tak ada hati dengan Pahang, saya rasa tak ada masalah untuk persatuan lepaskan dia. Bila dah tak ada hati nak main pun memang tidak akan bagi 100 peratus dan persatuan pun sedar perkara itu,” ujarnya.

Leave a Reply