Guan Eng persoal notis hadir di mahkamah sehari sebelum pencalonan PRN Sabah

Lim Guan Eng mempersoalkan pengaturan masa untuk 2 pertuduhan baru yang akan dikenakan terhadapnya di Butterworth, Pulau Pinang Jumaat ini, iaitu sehari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sabah.

Setiausaha Agung DAP dan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau tidak menerima sebarang maklumat rasmi daripada Sururuhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pertuduhan baru sehingga hari ini.

Dua pertuduhan baru di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu dipercayai ada kaitan dengan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Saya hanya baca mengenainya melalui laporan berita minggu lalu. Dan apabila berita itu disiarkan, saya sedang berkempen di kawasan pedalaman Sabah,” katanya selepas menghadiri kes rasuahnya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.



Lim mendakwa ia adalah langkah politik oleh SPRM untuk mendedahkan maklumat itu kepada media.

“Kita tidak tahu jika pendedahan itu dilakukan secara sengaja atau sebaliknya. Ia adalah tindakan SPRM yang tidak profesional dan tidak adil.”

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Sesyen yang 2 pertuduhan baru akan difailkan terhadap Lim di Mahkamah Sesyen Butterworth Jumaat ini.

Pendakwaan sudah menyerahkan notis itu kepada Lim hari ini.



Lim mengulangi beliau tidak bersalah dan akan menentang pertuduhan rasuah itu di mahkamah.

Ditanya sama ada beliau masih akan ke Sabah, katanya, kehadiran di mahkamah akan menjejaskan persiapan dan jadual kempennya.

“Mungkin saya akan pergi kemudian.”

Lim berdepan 2 pertuduhan rasuah bulan lalu.



Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta balasan berupa 10% daripada keuntungan yang akan diperolehi daripada Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada Mac 2011 sebagai upah membantu syarikat itu dilantik melaksanakan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan.

Beliau turut didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk mendapatkan RM3.3 juta dalam rasuah untuk melantik syarikat Zarul bagi projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabatnya di Komtar antara Januari 2011 dan Ogos 2017. FMT



Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker