Dua pengarah syarikat ditahan berhubung projek pembinaan jalan RM800 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah syarikat di sini kerana disyaki melakukan rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit dari Kementerian Pertahanan Malaysia berhubung perlaksanaan 10 Projek Menaik Taraf Jalan di Negeri Sarawak bernilai RM800 juta.

Siasatan dijalankan di bawah seksyen 16 (b), 17 (a) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kedua-dua pengarah syarikat berusia 44 tahun yang bergelar Datuk itu merupakan rakan kongsi yang memiliki tiga buah syarikat yang memonopoli projek berkaitan. Mereka ditahan dalam satu operasi khas di Kuching hari ini.

Menurut sumber, projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dinamakan “Projek Jiwa Murni” itu adalah di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan dianugerahkan kepada syarikat berkenaan sejak tahun 2010 hingga 2016.



Tambah sumber, banyak aduan yang diterima daripada masyarakat setempat berhubung keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi. Ada antara jalan-jalan ini tidak lagi dapat digunakan dan rosak setelah beberapa bulan dibina.

Kawasan-kawasan yang terlibat adalah sekitar Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga.

Hasil kajian teknikal mendapati jalan-jalan ini langsung tidak menepati piawaian pembinaan jalan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jalan-jalan ini hanya diletakkan lapisan TAR yang dianggarkan hanya setebal 2 inci di atas permukaan tanah. Tiada lapisan batu kerikil dan pasir sepertimana dalam syarat kontrak.



Ini menyebabkan jalan yang dilalui oleh kenderaan berat termasuk lori-lori balak mudah rosak dan tidak dapat digunakan oleh kenderaan ringan sebagai jalan penghubung antara kawasan-kawasan pedalaman.

Difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah mengarahkan JKR Negeri untuk membaik pulih serta menaiktaraf jalan-jalan berkenaan kerana kegagalan kontraktor yang dilantik melaksanakannya.

Ini menyebabkan kos bagi membaikpulih bertambah sekali ganda. Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit.

Selain itu, sumber menjelaskan bahawa perkara yang paling mengejutkan ialah mengenai pelantikan empat kontraktor baru oleh JKR Negeri.



Ini kerana salah satu syarikat yang mendapat projek menaiktaraf dan membaikpulih jalan-jalan berkenaan disyaki dimiliki oleh pengarah syarikat yang ditahan.

Seharusnya syarikat-syarikat dibawah kawalan saspek perlu disenaraihitam daripada memperolehi projek atas faktor kegagalan mereka melaksanakannya.

Mereka harus dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan. Tetapi sebaliknya apa yang berlaku, mereka diberikan lagi projek dengan menggunakan nama syarikat lain.

Kedua-dua Pengarah syarikat ini akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching esok (Rabu) untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan tersebut.



Menurut beliau, siasatan kes ini dibuat dengan kerjasama Kementerian Pertahanan setelah laporan audit dalaman kementerian menunjukkan kegagalan projek ini. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker