Zahidi mahu jumpa Veveonah

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin menyatakan hasrat untuk bertemu dengan pelajar Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin susulan isu yang melanda mereka.

Bagaimanapun katanya, isu yang berlaku itu gara-gara parti DAP yang mengambil kesempatan dan mempolitikkannya.

“Seperti saya katakan kita akan berjumpa, tapi isu ini kita lihat dimainkan oleh DAP, mereka cuba ambil kesempatan ke atas pelajar tersebut. Sebab itu saya kata apabila isu ini timbul di parlimen saya tak jawab, sebab saya nak beri ruang kepada pelajar itu jangan ambil kesempatan.

“Jadi maknanya DAP nak ambil kesempatan untuk guna isu ini sebagai milleage politik dan dah larikan isu Lim Guan Eng, isu rasuah dan sebagainya.

“Jadi bila dia gunakan isu ini dan besarkan isu ini oleh red beans army, nak tenggelamkan isu Guan Eng,” katanya ketika ditemui media ketika hadir merasmikan program Merdeka@Komuniti peringkat negeri Kelantan di Pengkalan Petah, Bachok, hari ini.

Terdahulu, Zahidi dan Timbalan Menteri Kewangan I Abdul Rahim Bakri yang pada awalnya mempersoalkan kredibiliti video tular milik Veveonah.

Video tular itu menunjukkan pelajar asasi sains dari UMS itu, menduduki peperiksaan di atas pokok pada 12 Jun lalu bagi mendapatkan capaian internet yang lebih baik.

Zahidi kemudian mengakui terkhilaf semasa mendakwa Veveonah yang juga personaliti YouTube menipu kononnya memanjat pokok semasa menjawab soalan peperiksaan.

Kata Zahidi, dia mendapat maklumat yang tidak tepat semasa memberikan jawapan di Dewan Negara. Justeru Zahidi memohon maaf atas kesilapan tersebut.

Anggota Parlimen Padang Besar itu turut memberitahu mendapat maklumat itu daripada Abdul Rahim yang juga ahli parlimen Kudat.

Bagaimanapun, Abdul Rahim mempertahankan dakwaan Veveonah menipu dengan berkongsi laporan daripada ketua kampung bahawa Veveonah tidak menetap di Kampung Sepatalang seperti yang didakwanya.

Pada posting Facebook semalam, Abdul Rahim juga memberitahu seorang dekan fakulti dan pensyarah UMS mengesahkan kepadanya bahawa pada ketika itu (12 Jun) tiada peperiksaan dalam talian dan hanya sekadar kelas biasa.

Sementara itu Zahidi menegaskan, sudah menjadi amalan kepada wakil rakyat kawasan memaklumkan sesuatu masalah dan dia (Abdul Rahim) bagitahu apa yang berlaku kepada pelajar tersebut.

“Maka DAP jadi marah, marahkan wakil rakyat kawasan. DAP apabila propaganda mereka menjadi tak jadi, dia marahkan wakil rakyat kawasan. Tak bolehlah ini kawasan dia.

“Di parlimen pula mereka cuba buat tindakan nak hantar surat, kita boleh saman. Tapi kita tak mahulah saman, kita bagi peluang minta maaf.

“Sebab ada prima facie ada bertulis, bersurat menyatakan saya menipu, saya boleh saman sebab saya tak menipu, tapi janganlah ambil kesempatan menganiaya pelajar tersebut nak cari makan nak buat (video) You Tube nak seronok-seronok sebagai pelajar, orang muda,” katanya sambil menasihati agar DAP tidak ambil kesempatan ke atas orang lain untuk kepentingan politik mereka.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker