Warga emas 90 tahun kena tipu RM3.83 juta diperdaya Macau Scam

Share
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Seorang pesara swasta mengalami kerugian RM3.83 juta dipercayai akibat diperdaya sindiket Macau Scam.

Wanita berusia 90 tahun itu mengikut kemahuan sindiket berkenaan dengan memindahkan wang simpanannya ke tujuh akaun syarikat yang berbeza secara berperingkat pada 20 April hingga 15 Jun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ia bermula pada 13 Jun apabila wanita warga emas itu menerima panggilan telefon didakwa daripada Pos Laju Malaysia yang mengatakan terdapat bungkusan dihantar dari Ipoh ke Sabah dengan menggunakan butirannya.


Beliau berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki tempatan yang mendakwa dirinya anggota polis berpangkat Sarjan bernama ‘Ho Mum Foo’ dan pegawai atasannya ‘Inspektor Herman Lee’ dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

“Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua dan polis menahan dua lelaki tempatan berusia 36 dan 43 tahun dipercayai terlibat dalam kes ini di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor pada Khamis,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis turut merampas tiga telefon bimbit dan kedua-dua mereka direman empat hari bermula Jumaat.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta denda,” katanya sambil menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tipu helah sindiket itu.

Beliau berkata, sindiket itu biasanya menyasarkan golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat terkini jenayah siber. – Bernama

Leave a Reply