Syed Saddiq kecam Rahim, walaupun selepas padam catatan berkait Veveonah

Beberapa ahli Parlimen membidas Ahli Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri atas catatan Facebooknya mendakwa pelajar Sabah, Veveonah Mosibin memalsukan peperiksaan universiti atas talian, yang sudah dipadamkannya.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengecam catatan Rahim sebagai satu bentuk buli, dengan Yeoh mempersoalkan tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun membisu berhubung perkara itu.

“Jika anda tidak mengetahuinya, ini sebenarnya ialah tindakan buli siber. Oleh 2 timbalan menteri, Terhadap seorang anak muda.

“Sekali lagi, menteri wanita dan timbalannya mendiamkan diri,” tulisnya di Twitter hari ini.

Syed Saddiq turut mengkritik Rahim kerana mengetepikan isu utama, iaitu kurang capaian internet di Sabah, menggesa tidak mengganggu Veveonah.

“Cukup-cukuplah membuli belia. Daripada membuang masa dan tenaga memperkecilkan Veveonah, lebih baik fokus untuk memperluaskan rangkaian internet di Sabah.

“Jangan ganggu belia,” kata bekas menteri belia dan sukan itu menerusi catatan di Twitter.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut membidas Rahim dengan mempersoalkan beliau mengapa tidak mengambil inisiatif menemui Veveonah, sebaliknya mendakwa pelajar itu atas talian.

Veveonah menjadi terkenal baru-baru ini selepas memuat naik satu rakaman video di saluran YouTubenya 3 bulan lalu menunjukkan beliau menghabiskan 24 jam di atas pokok dalam hutan untuk mendapat capaian internet terbaik bagi menduduki peperiksaan atas taliannya.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin dilaporkan mendakwa Veveonah ialah seorang YouTuber dan memalsukan peperiksaan atas taliannya untuk menambah pengikut saluran videonya.

Beliau kemudiannya memohon maaf kepada Vevenoah kerana menerima “maklumat tidak tepat” berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Rahim, menerusi catatan Facebook semalam, berkata Veveonah tinggal di pekan dan keluarga tidak lagi mempunyai rumah di kampung, di mana gadis itu dakwa beliau terpaksa memanjat pokok untuk menduduki peperiksaannya.

Beliau mendakwa Veveonah sengaja “membuat drama” untuk mendapat perhatian serta publisiti.

Catatan timbalan menteri kewangan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen sehingga mendorong beliau memadamkan catatan terbabit. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker